Iklan

Tiada tindakan terhadap doktor kontrak terlibat mogok, kata menteri

Covid-19 hartal doctor contract sungai buloh 02
Hari ini Menteri Kesihatan Adham Baba dalam Dewan Rakyat berkata kerajaan tidak akan ambil tindakan disiplin terhadap doktor kontrak yang terlibat dalam mogok Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 Julai, 2021.
Iklan

KERAJAAN tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap doktor kontrak yang menyertai mogok Hartal Doktor Kontrak semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“InshaAllah tiada tindakan mereka keluar (mogok) semalam. Kita tak ambil tindakan disiplin, mereka berhak (keluar hartal),” katanya menjawab soalan dibangkitkan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat hari ini.

Adham menjawab soalan tersebut ketika memberi penerangan kepada Dewan Rakyat mengenai tindakan yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani pandemik Covid-19.

Pagi semalam, ratusan pekerja kesihatan kontrak bermogok di sekitar hospital kerajaan di seluruh negara sebagai tanda protes terhadap sistem kontrak yang tidak adil.

Berikutan mogok itu, ada beberapa doktor kontrak dipanggil oleh ketua jabatan manakala pihak polis pula turut mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat mogok tersebut.

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pihak hospital telah mengenal pasti 24 doktor kontrak yang terlibat dalam mogok tersebut malah mendakwa akan ada lebih banyak nama.

Katanya mereka akan diberikan surat tunjuk sebab.

“Kami tahu dan telah kenal pasti siapa yang terlibat dalam protes semalam. Setakat ini, kami telah kenal pasti 24 doktor. 17 doktor wanita dan tujuh doktor lelaki,” kata Dr Zulkarnain kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, selepas diasak bertubi-tubi, Dr Adham memberi jaminan tindakan disiplin tidak akan dikenakan terhadap doktor yang terlibat dalam mogok itu.

“Kami tidak akan ambil tindakan disiplin,” katanya selepas diasak oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH) mengenai jawatan tetap buat doktor kontrak.

Tambah Adham, KKM memerlukan masa dua tahun sebelum menyerap masuk doktor kontrak ke jawatan tetap, termasuk meminda beberapa perkara dalam Akta Pencen dan Akta Perubatan.

Dr Dzulkefly berkata badan-badan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bukannya meminta lanjutan kontrak dua tahun tetapi sekurang-kurangnya lapan hingga 10 tahun.

“Dua tahun tak cukup. Mereka (MMA) minta paling tidak lapan tahun,” katanya menambah pengajian lepasan ijazah ambil masa yang lama. – 27 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan