Isu doktor kontrak dominasi Dewan Rakyat lagi hari ini
Iklan
SIDANG Parlimen petang ini hiruk-pikuk apabila ahli Parlimen pembangkang menggasak Menteri Kesihatan mengenai tindakan menangani pandemik Covid-19.
Beberapa ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan penerangan Adham Baba, berulang kali mendesak beliau menjawab beberapa perkara seperti yang dibangkitkan dalam sesi penerangan mengenai darurat pagi tadi.
Sebahagian besar isu tertumpu pada respons Putrajaya terhadap mogok yang dibuat doktor kontrak pada Isnin.
Pagi ini muncul laporan berita mengatakan polis akan menyiasat doktor kontrak dan ada pengarah di beberapa hospital dikatakan memanggil mereka yang membuat mogok itu.
Justeru ia menimbulkan rasa tidak puas hati oleh beberapa ahli Parlimen petang tadi.
Selepas puas menekan menteri kesihatan dalam Dewan Rakyat, akhirnya Adham berjaya yakinkan ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan ambil tindakan disiplin terhadap doktor yang terlibat dalam mogok itu.
“InshaAllah tiada tindakan mereka keluar (mogok) semalam. Kita tak ambil tindakan disiplin, mereka berhak (keluar hartal),” katanya menjawab soalan dibangkitkan beberapa ahli Parlimen termasuk bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH).
Selain Dzulkefly, Dr Kelvin Yee (Bandar Kuching-PH), Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PN) dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng-PH) juga antara lain mendesak kerajaan menyelesaikan isu doktor kontrak.
Adham kemudiannya memberi jaminan pelanjutan kontrak hanya penyelesaian sementara perkara perlu akan dibuat termasuk meminda beberap perkara dalam Akta Pencen dan Akta Perubatan bagi membolehkan jawatan tetap diberikan kepada doktor kontrak.
“Supaya kita dapat tolong doktor-doktor ini. Saya pun doktor, anak saya juga doktor,” katanya.
Bagaimanapun kenyataannya itu tidak meredakan pembangkang. Mereka sebaliknya membantai Adham dalam isu lain pula.
Ahli-ahli Parlimen menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap cara kerajaan kawal pandemik. Antara isu dibangkitkan, bekalan vaksin tidak cukup, hospital penuh, jumlah kes tinggi dan lain-lain.
Walaupun begitu jawapan Adham tetap tidak memuaskan hati ahli Parlimen pembangkang memandangkan jawapan menteri itu pernah sama dengan jawapan-jawapan lama yang pernah disebut sebelum ini.
Bekas timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH) berkata, beliau boleh bertolak ansur dengan kekurangan Adham, bagaimanapun menggesa menteri itu letak jawatan jika tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.
Beliau menunjukkan lebih 8,000 orang maut sejak pandemik melanda negara. – 27 Julai, 2021.