Kenapa masih siasat doktor sertai hartal, soal pembangkang
Iklan
PEMBANGKANG kesal kerana doktor yang menyertai hartal tetap disiasat walau Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.
Saifuddin Nasution Ismail (PH – Kulim Bandar Baharu) berkata siasatan polis tersebut amat mengejutkan dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menakut-nakutkan doktor kontrak.
Beliau berkata demikian dengan mengaitkan siasatan dijalan ke atas doktor yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Maeps, Serdang awal pada dinihari.
“Pengarah PKRC Maeps buat laporan, (polis) datang malam buat siasatan 12 malam hingga empat pagi.
“Saya fikir satu perkataan (sahaja), intimidasi,” katanya ketika membahaskan pembentangan menteri hal ehwal vaksinasi Khairy Jamaluddin pagi ini di Parlimen mengenai usaha vaksinasi.
Walhal, Adham dalam pembentangan semalam sudahpun memberi jaminan siasatan tidak akan dijalankan ke atas doktor yang menyertai hartal, kata Saifuddin lagi.
Oleh itu, satu penjelasan tuntas harus diberikan dalam Dewan Rakyat berkenaan perkara itu memandangkan jaminan dibuat oleh menteri di dalam dewan agar tiada siasatan dilakukan, katanya.
‘Satu penjelasan tuntas harus diberikan sebab para doktor mereka uar-uarkan tak ada kekecohan mereka tidak lepaskan kerja mereka dan menteri juga beri jaminan tak ada siasatan.
“Alih-alih polis datang buat siasatan dalam Maeps dan peguam tak boleh masuk.
“Keputusan politik perlu diuat segera dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ke KDN (Kementerian Dalam Negeri). Tolong jangan rosakkan lagi moral pasukan doktor.
“Tolong jangan layan mereka seperti penjenayah, dalam sistem kesihatan negara kita yang hampir lumpuh tolong jangan hancurkan mereka,” katanya.
Terdahulu hari ini, The Malaysian Insight melaporkan siasatan dijalankan ke atas 12 doktor yang bertugas di PKRC Maeps.
Peguam Asheeq Ali Seth Alivi yang mewakili kumpulan “Hartal Doktor Kontrak” berkata beliau tidak dibenarkan masuk untuk memberi bantuan guaman kepada doktor terbabit.
Ribuan doktor kontrak menjalankan hartal pada Isnin dengan berjalan keluar dari hospital tempat mereka bertugas dengan berpakaian hitam.
Tuntutan utama hartal tersebut bagi mendapatkan tawaran penjawatan tetap. – 28 Julai, 2021.