Speaker perlu dedah nama ahli Parlimen anti-vaksin, kata Akmal
Iklan
PARLIMEN perlu mendedahkan identiti empat ahli Parlimen yang belum diberi vaksin kerana kepercayaan agama mereka, kata Akmal Mohd Nasir.
“Ada khabar angin mengatakan ada beberapa ahli Parlimen tidak divaksin disebabkan soal kepercayaan,” kata ahli Parlimen Johor Bahru di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, Speaker Azhar Azizan Harun juga sebelum ini mendedahkan beberapa ahli Parlimen masih belum menerima vaksin.
“Saya harap kalau boleh Speaker dedahkan ahli-ahli Parlimen yang tidak mahu vaksin sebab saya percaya kita ambil vaksin ini tidak akan merendahkan fahaman agama kita. Jadi, tolong tunaikan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat,” katanya.
Minggu lalu, Azhar berkata seramai 35 ahli Parlimen hanya menerima satu dos vaksin Covid-19 sementara empat daripadanya belum menerima dos pertama atas sebab yang tidak didedahkan.
Beliau menambah, mereka bagaimanapun masih dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakat.
“Semua ahli Parlimen tetap dibenarkan datang ke Dewan Rakyat, walaupun ada yang tidak divaksin lagi atau tidak lengkap vaksin dua dos.
“Bagi ahli Parlimen tidak divaksin yang hadir Dewan Rakyat, kita nasihatkan mereka berhati-hati kerana kita tidak boleh menahan mereka datang bagi menunaikan tugas sebagai wakil rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Pada Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan anti-vaksin di negara ini jika mereka didapati menghasut pendapat umum terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut PICK, hanya 20.1 juta atau 61.7% dari keseluruhan 32.7 juta penduduk sudah mendaftar vaksinasi. Daripada jumlah itu, 18.8 juta adalah mereka berusia di atas 18 tahun manakala 1.2 juta di bawah 18 tahun. – 28 Julai, 2021.