Iklan

Malaysia berhati-hati tempah vaksin Covid-19, kata Khairy

Img 6357 (1)
Putrajaya mengambil pendekatan berhemah dan berhati-hati sebelum membuat tempahan vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2021.
Iklan

PUTRAJAYA mengambil pendekatan berhemah dan berhati-hati sebelum membuat tempahan vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

“Keputusan untuk membeli vaksin sudah dibuat pada November. Tetapi pada waktu itu, Pfizer yang merupakan vaksin mRNA baru kali pertama menjalani ujian klinikal dan masih menunggu dapatan penuh.

“Tindakan diambil Malaysia adalah berhemah dan membuat tempahan setelah puas hati dengan keputusan keberkesanan dan keputusan keselamatan vaksin itu,” kata Khairy selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kenapa program vaksinasi Malaysia lewat dari negara lain. 

Pada November tahun lalu, jumlah kes dan kematian Covid-19 masing-masing adalah 11,000 dan 250 kes. Sejak itu, jumlah kes aktif meningkat kepada 170,000 sementara jumlah kematian yang dicatatkan semalah adalah 8,408 kes.

Khairy bagaimanapun mempertahankan kerajaan dan mengatakan Australia, Korea Selatan serta Jepun juga memperoleh vaksin Pfizer mereka pada waktu yang sama.

“Ini bererti kita membuat keputusan serupa,” kata ahli Parlimen Rembau berkenaan.

Beliau menambah bahawa Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan Singapura kerana Temasek Holdings telah melabur AS$250 juta (RM1.06 bilion) dalam BioNTech yang merupakan usahasama dengan Pfizer yang membangunkan vaksin Comirnaty.

“Ini bermaksud Temasek atau Singapura adalah salah satu pemilik bersama vaksin Pfizer, kerana itu mereka mendapat vaksin lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, Israel sudah membayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan vaksin Pfizer dan setuju berkongsi datanya dengan syarikat itu sementara Indonesia memperoleh vaksin Sinovac lebih awal kerana merupakan negara ujian klinikal.

Khairy yang merupakan menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan bersetuju bahawa Malaysia perlu bergerak lebih cepat untuk mendapatkan vaksin tambahan.

“Ada negara yang mulai menempah bekalan vaksin untuk digunakan sebagai penggalak (booster), untuk tahun 2022 dan Malaysia sudah memulakan rundingan dengan Pfizer dua minggu yang lalu.

“Kita berharap dapat menyelesaikan perolehan untuk memfokuskan kepada suntikan penggalak dan kepada kanak-kanak,” katanya. – 28 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan