Anwar mohon lanjut sidang khas Dewan Rakyat
Iklan
KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim memohon sidang khas Dewan Rakyat dilanjutkan untuk beberapa hari supaya lebih ramai ahli Parlimen dapat menyampaikan pandangan mereka.
Pertimbangan itu penting kerana isu-isu utama seperti kesihatan dan pendidikan perlu dibahaskan secara terperinci, kata ahli Parlimen Port Dickson itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pagi ini.
Azhar bagaimanapun berkata perkara itu perlu diaju kepada Takiyuddin Hassan sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal Parlimen.
“Saya faham kekangannya dan saya bersetuju dengan apa yang diumum Yang Dipertua sebelum ini, bersabit dengan ketetapan dibuat oleh Kementerian Kesihatan.
“Beberapa isu kesihatan dan Covid-19, ramai yang tak dapat menyampaikan pandangan. Kalau dengan semua perbatasan waktu 3 jam, 4 jam untuk hari-hari berikut, saya boleh terima.
“Tetapi saya minta pertimbangan kerana ramai ahli-ahli Yang Berhormat tidak dapat menyampaikan pandangan mereka,” katanya.
Azhar ketika menjawab berkata perkara tersebut di luar bidang kuasanya.
“Perkara 12 (3) mengatakan Yang DiPertua boleh melanjutkan masa mesyuarat selepas jam 5.30 petang atau selepas apa-apa masa yang ditetapkan oleh majlis mesyuarat setakat 15 minit saja. Itulah kuasa saya.
“Itulah sebab saya duduk yang terakhir pengerusikan mesyuarat, saya terus menggunakan kuasa ini untuk melanjutkan masa sehingga 5.45 petang. Sayapun sudah sebut banyak kali tentang perkara ini.
“Tetapi aturan 12 (1) ada proviso mengatakan; ‘dengan syarat bahawa sesuatu usul yang diputuskan tanpa pindaan atau perbahasan boleh dikeluarkan seorang menteri (parlimen dan undang-undang) pada bila-bila tanpa pemberitahuan untuk mengubah waktu persidangan.
“Jadi terpulanglah kepada menteri untuk berbuat demikian sekiranya beliau mendapati sesuai dan beliau setuju untuk memanjang, memendek atau meminda waktu persidangan,” jelasnya.
Sidang khas Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,
Beliau membentangkan penerangan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi yang dilancarkan kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara. – 29 Julai, 2021.