Iklan

PM arah tiada tambahan masa untuk perbahasan, kata Takiyuddin  

Taki
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata pembangkang menolak peluang untuk melanjutkan persidangan Parlimen beberapa minggu sebelum ia berlangsung.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.
Iklan

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengarahkan Parlimen agar tidak lanjutkan masa persidangan atau melanjutkan sesi taklimat lima hari, kata Takiyuddin Hassan.

“Saya mendapat mandat daripada perdana menteri untuk tidak melanjutkan sidang harian (melepasi 5.30 petang) atau jumlah hari untuk persidangan Parlimen,” kata ahli Parlimen Kota Bharu di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri undang-undang itu mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) yang meminta kerajaan melanjutkan masa persidangan atau menjadikan sesi taklimat itu lebih lima hari.

Pembangkang turut meminta agar persidangan Dewan Rakyat dilanjutkan sehingga lepas 5.30 petang namun Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau hanya akan lanjutkan sidang harian 15 minit dan tiada kuasa untuk menambah jumlah hari.

Menjawab kenyataan Anwar, Takiyuddin dilihat cuba menyalahkan pembangkang berhubung situasi itu.

Beliau berkata kerajaan dan beberapa ahli Parlimen pembangkang berjumpa dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada 26 Julai lalu.

“Dalam pertemuan itu, KP memberi kami dua pilihan. Pertama untuk tidak mengadakan langsung sidang Parlimen dan kedua mengehadkan jumlah ahli Parlimen dalam Dewan.

“Pembangkang sepatutnya memilih untuk mengehadkan jumlah ahli Parlimen tetapi itu tidak berlaku,” kata Takiyuddin.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk membenarkan semua hadir namun tetap pada had 5.30 petang yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat.”

Takiyuddin berkata beliau turut berbincang dengan Muhyiddin dan diberi mandat untuk tidak melanjutkan masa sidang Parlimen.

Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu-PH) menjawab dan mengatakan mereka telah bertemu Azhar pada hari berikutnya.

Selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar persidangan Parlimen diadakan segera, kerajaan Perikatan Nasional memutuskan untuk mengadakan sesi taklimat khas Parlimen bermula 26 Julai hingga 2 Ogos.

Persidangan pertama Parlimen juga dijadualkan akan bermula pada 6 September.

Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak Disember tahun lalu selepas kerajaan mengumumkan perintah darurat pada 11 Januari. – 29 Julai, 2021.

Iklan
Iklan