Azhar pertahan tak perlu bahas Ordinan Darurat
Iklan
ORDINAN Darurat tidak perlu dibahaskan di Parlimen, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, sejurus sebelum Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa pembatalannya belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Azhar, beliau berkata demikian berdasarkan pemahamannya berkenaan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan mengapa ia tidak perlu dibahaskan.
“Perkara 150(3) ada tiga elemen. Elemen pertama menyebut proklamasi darurat atau apa-apa ordinan yang dibuat mestilah dibentangkan di dalam Dewan apabila Parlimen bersidang. Bahagian kedua yang penting ialah unless sooner revoked (dibatal lebih awal).
“Kemudian yang ketiga, kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) memutuskan untuk batal.
“Keperluan untuk membentangkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinannya adalah amat terang dan nyata dalam Perkara 150(3). Perlembagaan Persekutuan itu adalah undang-undang yang sangat spesifik, penggunaan bahasa yang digunakan juga amat spesifik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan Azhar itu sebelum Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebaliknya dukacita kerana kerajaan Muhyiddin Yassin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 29 Julai, 2021.