17,170 kes baharu Covid-19, kata KP kesihatan
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 17,170 lagi kes baharu Covid-19, dengan lebih separuh daripada jumlah itu direkodkan di Lembah Klang.
Ini menjadikan jumlah terkumpul jangkitan meningkat kepada 1,078,646 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.
Semalam 17,405 kes dilaporkan, rekod harian tertinggi sejak pandemik melanda negara pada hujung Januari tahun lalu.
Hari ini, Selangor terus mendahului dengan 7,63 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,183 kes, menjadikan 9,301 kes direkodkan di Lembah Klang sahaja dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 56 kes positif dikesan sehingga semalam hasil ujian saringan antara 21 hingga 25 Julai untuk sidang khas Parlimen.
Daripada jumlah itu, dua membabitkan ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan, katanya.
“Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen dan diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif ini sebelum bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan sebanyak 552,701 dos vaksin diberi semalam.
daripada jumlah itu, seramai 353,771 individu menerima satu dos pertama, manakala 198,930 lagi lengkap dos kedua.
Secara keseluruhan, 12.8 juta atau 39.3% penduduk menerima dos pertama setakat semalam, dan 6.1 juta atau 18.7% lengkap dua dos, kata JKJAV. – 29 Julai, 2021.