Dewan Rakyat ditangguh kali ke-3 hingga jam 3.30 petang
Iklan
DEWAN Rakyat ditangguhkan untuk kali ketiga hari ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih membincangkan mengenai agenda, kata Azalina Othman Said.
Timbalan Yang di-Pertua memberitahu ahli Parlimen memandangkan perbincangan masih berlangsung, berhubung agenda hari ini, Dewan Rakyat akan ditangguhkan sehingga jam 3.30 petang.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Pengerang tidak menjelaskan mengenai penggantungan ketiga hari ini.
Pada tengah hari, Bernama melaporkan beberapa kereta VVIP dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara selepas kenyataan Istana Negara hari ini.
Parlimen pertama kali digantung tengah hari ini sebelum Timbalan Speaker Rashid Hasnon mengakhiri sesi pagi pada jam 12.45 tengah hari.
Dewan Rakyat ditangguhkan selepas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) memberitahu Parlimen yang Istana Negara telah menegur kerajaan berhubung pembatalan ordinan darurat hari ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong bertitah pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan mengenai pembatalan tersebut menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli Parlimen.
Baginda juga berkata kenyataan Takiyuddin di Dewan Rakyat tidak tepat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Fadil dalam kenyataan itu. – 29 Julai, 2021.