Anwar kemuka usul tidak percaya terhadap Muhyiddin
Iklan
KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.
Muhyiddin harus dipecat sebagai perdana menteri kerana ingkar titah Yang di-Pertuan Agong, kata ahli Parlimen Port Dickson dalam sidang media atas talian Parlimen hari ini.
“Jika beliau masih ada integriti, beliau patut meletak jawatan kerana tidak berani berdepan Parlimen,” tambahnya.
Pejabat Anwar berkata bahawa usul itu diserahkan kepada Speaker Azhar Azizan Harun pada 3 petang.
Sidang akhbarnya diadakan selepas Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon menangguhkan persidangan Dewan Rakyat sehingga jam 5.15 petang dengan alasan bimbang jangkitan Covid-19 di Parlimen yang melibatkan kakitangannya.
Semua ahli Parlimen dan kakitangannya diminta untuk menjalani saringan segera dan Parlimen dikuarantin.
Ini adalah kali keempat Parlimen ditangguhkan hari ini selepas berlaku kekecohan di Dewan Rakyat susulan kenyataan Agong yang belum memberi perkenan pembatalan ordinan darurat.
Selain meminta peletakan jawatan Muhyiddin, Anwar juga mendesak Takiyuddin untuk melepaskan jawatannya susulan kenyataan dari Istana Negara.
“Takiyuddin juga perlu meletak jawatan kerana melakukan kesilapan dan mengelirukan dewan,” katanya.
Mengulas mengenai dua kes Covid-19 di Parlimen, ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan tindakan itu sebagai muslihat untuk menangguhkan persidangan.
“Perikatan Nasional tahu mereka sudah hilang majoriti ahli Parlimen. Ujian Covid-19 ini adalah untuk melambatkan kita dari undi tidak percaya.
“Speaker menerima usul saya dan tidak lama kemudian, ada dakwaan kes positif Covid-19. Ini muslihat mereka dan untuk itu speaker perlu meletakkan jawatan,” kata Anwar.
Rashid memberitahu Dewan bahawa prosiding perlu ditangguhkan sehingga jam 5.15 petang selepas mendapat arahan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bahawa terdapat dua kes positif Covid-19 di Parlimen.
Beliau berkata, kes pertama adalah pekerja di Parlimen dari Isnin hingga Rabu manakala kes kedua dikesan hari ini melalui ujian air liur RTK. – 29 Julai, 2021.