Parlimen ditangguhkan untuk kali ke-5
Iklan
DEWAN Rakyat ditangguhkan lagi untuk kali kelima hari ini selepas Timbalan Speaker Rashid Hasnon membuat pengumuman pada jam 5.15 petang tadi.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila persidangan akan bersambung walapun rancangan asalnya ia akan berakhir pada Isnin.
Beliau berkata, persidangan petang tadi – hari keempat dari lima hari mesyuarat khas – ditangguhkan kerana terdapat dua lagi jangkitan Covid-19 yang dikesan dari ujian RTK yang dilakukan di Parlimen.
“Sekarang ada empat kes positif Covid-19 yang melibatkan kakitangan Parlimen, oleh itu persidangan hari ini ditangguhkan,” kata Rashid.
Ahli Parlimen pembangkang jelas muak dengan penangguhan itu dan meminta Rashid memberikan alasan yang kukuh.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu bagaimanapun terus keluar dewan, meninggalkan ahli Parlimen yang berteriak meminta penjelasan.
Sebelum ini, pada 3.30 petang tadi Rashid meminta semua ahli Parlimen menjalani saringan Covid-19 selepas mendakwa Kementerian Kesihatan mengesan dua kes positif.
Pada jam 1 tengah hari, persidangan ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang selepas berlaku kekecohan di Dewan Rakyat susulan kenyataan Agong yang menzahirkan dukacita di atas pembatalan ordinan darurat.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.
Muhyiddin harus dipecat sebagai perdana menteri kerana ingkar titah Yang di-Pertuan Agong, kata ahli Parlimen Port Dickson dalam sidang media atas talian Parlimen hari ini.
“Jika beliau masih ada integriti, beliau patut meletak jawatan kerana tidak berani berdepan Parlimen,” tambahnya.
Pejabat Anwar berkata bahawa usul itu diserahkan kepada Speaker Azhar Azizan Harun pada 3 petang.
Selain meminta peletakan jawatan Muhyiddin, Anwar juga mendesak Takiyuddin untuk melepaskan jawatannya susulan kenyataan dari Istana Negara.
“Takiyuddin juga perlu meletak jawatan kerana melakukan kesilapan dan mengelirukan dewan,” katanya. – 29 Julai, 2021.