Iklan

Anak muda kritik ahli politik dalam karya digital

Fahmi reza tmikamal 04
Tindakan pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza dilihat membuka jalan kepada ramai anak seni di Malaysia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap hal semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2021.
Iklan

BELIA Malaysia tampil dengan cara kreatif memprotes melalui humor, lirik, komik dan metafora terhadap pemerintahan yang teruk dan tidak adil pada zaman pandemik.

Protes mereka terhadap keadaan semasa negara dalam bentuk seni telah menggegarkan media sosial dengan orang ramai bersatu melahirkan rasa kecewa dan marah.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa protes ini berkesan bagi memastikan suara mereka didengari oleh ahli politik.

Mereka juga berkata karya mereka juga memberikan sedikit keceriaan di tengah musim Covid-19 yang gelap dan menyedihkan.

Salah seorang penunjuk perasaan Dian Amani, merupakan salah seorang pelajar yang hampir menamatkan pengajian di New York, Amerika Syarikat.

Dian yang berusia 26 tahun dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni dan teater di luar negara pada tahun 2014.

“Guru saya beritahu saya, ‘Jika saya mahu salurkan kemarahan dan kekecewaan, salurkan saja melalui seni’.

“Saya sangat marah dengan Azmin Ali (menteri perdagangan antarabangsa dan industri), saya hasilkan lagu protes itu dalam 20 minit,” kata pelakon muda itu.

Sehingga kini dia sudah memuat naik tujuh video menyuarakan ketidakadilan dan pilih kasih yang diamalkan oleh ahli Parlimen melalui lagu, bahkan termasuk makian.

“Saya melihat setiap hari apa yang berlaku dengan ahli politik hari ini.

“Kerajaan saya bodoh dan saya tidak tahu perlu mengadu kepada siapa, jadi saya mengadu ke media sosial,” katanya.

Apa yang mengejutkannya, dia tidak menyangka kemarahannya dapat didengar dan disokong oleh ramai rakyat Malaysia.

“Apabila saya bangun keesokan harinya, saya mendapati ada 2,000 (tambahan) pengikut dan 500 pesanan langsung yang mengucapkan terima kasih atas apa yang saya lakukan. Saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis,” katanya.

Dia berkata, suaminya juga terkejut ketika melihat jumlah penonton videonya dan mendapati ia dilihat oleh 300,000 profil.

“Kemudian dia bertanya, ‘Adakah kamu akan dipenjara?’,” Dian ketawa.

Dia percaya sudah tiba masanya belia bangkit selepas berdiam diri terlalu lama dan semua yang mereka mahukan adalah untuk Malaysia yang lebih baik dan kebebasan.

“Kita tidak boleh bersuara dalam banyak perkara, saya tidak boleh mempersoalkan agama, kerabat, ahli politik.

“Itulah pebgalaman saya dibesarkan di sekolah kerajaann dan jika ada, saya akan digantung persekolahan.

“Ahli politik kita, bagaimana generasi mereka memperlakukan negara kita, mereka tidak mencintai negara kita. Generasi kita lebih mencintai negara ini,” katanya.

Medium digital

Anak seni, Vikneswaran Veerasundar berkata pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza telah membuka jalan kepada ramai anak seni di Malaysia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap hal semasa.

Fahmi baru-baru ini disiasat polis susulan grafiknya yang menyindir hal ehwal negara, untuk kali ketujuh tahun ini.

“Sebagai pencipta kandungan berbangsa India, ada risiko jauh lebih besar dalam menyuarakannya, jadi Fahmi sebagai pelukis Melayu melakukan apa yang dia lakukan, dia membuka peluang untuk semua orang.

“Saya juga pernah mendengar beberapa sesi Clubhouse di mana dia berkongsi langkah-langkah untuk dilakukan apabila pihak berkuasa datang menangkap anda,” kata Veerasundar.

Dikenali secara meluas dengan nama @vikarworld, dia juga menggunakan platformnya untuk bercerita tentang kerajaan secara kreatif.

Pada 7 Julai, dia menulis dan menyanyikan lagu berjudul “Dear PM” yang merupakan surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Itu adalah pendekatan yang sama sekali berbeza, orang mengharapkan saya melakukan komedi, dan kemudian saya nyanyikan lagu yang serius,

“Semasa saya menulis, saya berasa lega dengan cara yang pelik. Saya tidak dapat menghubungi perdana menteri, tiada siapa dapat.

“Jadi, satu-satunya cara adalah mengeluarkan kandungan dan berharap ia dapat mencapai tontonan yang tinggi sehingga sampai kepadanya,” katanya pemuda berusia 28 tahun itu.

Dia percaya bahawa platform digital adalah media protes hari ini dan pada masa akan datang selepas wabak.

“Untuk generasi akan datang, semuanya akan berada dalam talian, ini adalah tempat terbaik untuk mengatakan karya anda dengan jangkauan yang lebih tinggi.

“Saya tidak melemahkan apa yang dilakukan oleh perhimpunan Bersih, demonstrasi jalanan fizikal.

“Ini sangat besar bagi negara, tetapi protes sekarang datang dalam pelbagai gaya,” katanya. – 29 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan