Iklan

Selepas Agong murka, apa bakal jadi selepas ini?

Chan Kok Leong3 years ago30th Jul 2021Berita
Muhyiddin yassin agong facebook istana negara
Adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen? – Gambar Facebook Istana Negara, 30 Julai, 2021.
Iklan

BELUM pernah terjadi Yang di-Pertuan Agong murka terhadap kerajaan.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menzahirkan rasa amat dukacita kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda. Malah, kerajaan membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Al-Sultan Abdullah juga dukacita kerana proses yang sepatutnya sudah baginda titahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun semasa mereka mengadap baginda secara dalam talian pada Sabtu lalu tidak dilaksanakan.

Lebih teruk lagi, Seri Paduka menegaskan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai tidak tepat dan mengelirukan.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan petang semalam, berkata Ordinan Darurat dibatalkan mengikut undang-undang.

The Malaysian Insight menyenaraikan beberapa kemungkinan:

Muhyiddin letak jawatan, Umno menang

Susulan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinet akan meletak jawatan.

Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong akan meminta parti-parti dalam kerajaan - PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak dan Bebas - memilih perdana menteri baharu.

Namun, perdana menteri baharu perlu meyakinkan Agong bahawa bahawa beliau mempunyai sokongan lebih 110 daripada 220 ahli-ahli Dewan Rakyat.

Walaupun BN (42 ahli Parlimen) lebih kecil dibandingkan dengan PN (50), besar kemungkinan ahli Parlimen Umno akan dipilih sebagai perdana menteri kerana parti itu akan menjadi king maker. Maknanya, tanpa Umno, tiadalah kerajaan PN.

Lagipun, Ismail Sabri Yaakob - dari Umno - baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Beberapa ahli Parlimen Umno yang melompat ke dalam Bersatu tidak mustahil akan berpatah balik kepada parti asal mereka.

Muhyiddin kekal tapi Takiyuddin berundur

Walaupun pembatalan Ordinan Darurat adalah keputusan sebulat suara Kabinet, ada yang menyalahkan Takiyuddin.

Pembatalan Ordinan Darurat diumumkan setiausaha agung PAS itu pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin lalu. Malah, kenyataan Istana Negara menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong dukacita kerana proses yang sepatutnya sudah baginda titahkan kepada Takiyuddin dan Idrus tidak dilaksanakan.

Baginda tidak menyebut nama Muhyiddin atau nama orang lain. Maka, ini boleh dijadikan alasan supaya Takiyuddin perlu letak jawatan.

Peletakan jawatan ahli Parlimen Kota Bharu itu sudah pasti akan menyelamatkan Muhyiddin untuk terus kekal sebagai perdana menteri, sementara sekutunya dari PAS juga dapat mengekalkan jawatan masing-masing.

Ini bagaimanapun, masih belum cukup untuk melegakan Muhyiddin kerana tidak semua ahli Parlimen Umno menyokongnya. Dan peletakan jawatan Takiyuddin bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Tiada siapa perlu letak jawatan

Seperti yang dikatakan seorang “pakar” politik, kenyataan Agong semalam hanyalah sekadar pendapat.

Melalui tulisan di Facebook semalam, beliau berkata PN percaya kerajaan berkuasa untuk membatalkan Ordinan Darurat, manakala Seri Paduka berpendapat pembatalannya adalah di bawah kuasa prerogatif baginda.

Mageran (Majlis Gerakan Negara)

Akhir sekali, jika Muhyiddin meminta supaya Parlimen dibubarkan. Secara umumnya, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memanggil, memprorog dan membubar Parlimen atas nasihat perdana menteri.

Namun, adakah Muhyiddin akan bertindak demikian ketika pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda akan reda?

Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong harus campur tangan seperti yang berlaku semasa krisis politik Perak 2009 dan Selangor pada 2014.

Dengan sokongan tipis PN atau pembangkang yang goyah, Seri Paduka mungkin akan menerima cadangan Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan perpaduan atau sebuah badan seperti Mageran.

Ini akan mengelak pilihan raya umum diadakan ketika angka harian jangkitan Covid-19 masih memuncak, sekali gus meletakkan politik negara dalam satu tempoh gencatan. 

Langkah ini juga supaya semua pihak dapat memberi tumpuan dalam usaha menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara. Pilihan raya umum boleh diadakan selepas wabak reda.

Nota: Ketika artikel ini ditulis, PN menegaskan kerajaan bertindak mengikut lunas undang-undang. – 30 Julai, 2021.  

Iklan
Iklan