Ditahan di lokap adalah penyeksaan mental, kata Sarah Irdina
Iklan
SARAH Irdina Mohammad Ariff, aktivis muda yang dibebaskan dari tahanan polis pada Jumaat berkata, keluarganya juga ditakut-takutkan polis ketika menceritakan pengalaman buruknya dalam tahanan.
Aktivis muda yang juga pengasas bersama MISI: Solidariti itu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berikutan ciapan di Twitternya tentang protes #Lawan yang berlaku hari ini.
Protes itu yang baru bermula di Dataran Merdeka mendesak perletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disebabkan kegagalan pentadbirannya mengendalikan pandemik Covid-19 yang bertambah teruk di negara ini.
Menerusi hantaran Instagram di akaun MISI: Solidariti, Sarah berkata beliau menghabiskan 11 jam dalam tahanan polis dan lima jam dalam lokap, pengalaman yang disifatnya sebagai “benar-benar mengejutkan”.
“Hanya berada dalam lokap adalah penyeksaan mental dan saya hanya melaluinya selama lima jam,” katanya.
Sarah berkata apa yang dilaluinya bukanlah unik kerana ia juga berlaku kepada ramai orang lain. Bagaimanapun, beliau berkata tiada sesiapa yang sepatutnya dipaksa melaluinya.
“Perkara pertama saya dengar di Dang Wangi adalah saya akan ditahan oleh pegawai penyiasat. Mereka bacakan hak saya, kemudian mengasak dengan pelbagai soalan, terutama sekali tentang hantaran di akaun Twitter MISI: Solidariti,” katanya.
Tambahnya, beliau turut digari selepas proses dokumentasi dan dibawa ke rumahnya.
Di sana, polis menggeledah rumahnya untuk mencari peranti yang boleh mengaitkannya dengan ciapan yang sedang disiasat.
“Makcik saya hampir menangis, merayu polis melepaskan saya. Melihatkan makcik saya begitu, (dan saya) berada dalam tahanan polis, hampir meremukkan hati saya. Tetapi saya perlu kuatkan diri: Saya beritahu dia saya akan okay,” katanya.
“Polis asyik beritahu makcik yang saya tak beri kerjasama cukup. Ia menaikkan kemarahan saya- apa yang saya cuba buat hanyalah menggunakan hak saya mengikut undang-undang ketika disoal siasat mereka sebelum itu.
“Taktik menakut-nakutkan ini tidak hanya digunakan ke atas saya. Mereka juga gunakan kepada keluarga saya yang tercinta, yang dengan jelas menjadi sasaran polis bagi memaksa saya bekerjasama,” tambahnya.
Sebaik sahaja serbuan itu dibuat, beliau di bawa ke Balai Polis Jinjang dan ditahan sehingga keesokkan harinya untuk pendengaran reman, kata Sarah.
“Saya dipaksa membuka baju sampai hanya tinggal pakaian dalam. Saya tukar pakai baju dan seluar lokap polis, kemudian masuk ke dalam lokap,” katanya lagi. – 31 Julai, 2021.