Iklan

Muhyiddin pengecut tangguh Parlimen, kata pengerusi jawatankuasa kesihatan

Chan Kok Leong3 years ago31st Jul 2021Berita
49934097897 5758dd63a6 o
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menangguhkan mesyuarat khas Dewan Rakyat itu dibuat berdasarkan politik, bukannya sains. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.
Iklan

PENGERUSI Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen menggelar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengecut kerana menangguhkan Parlimen pada Isnin ini kerana risau penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, tindakan Muhyiddin itu dibuat berdasarkan politik, bukannya sains.

“Penangguhan ini tidak masuk akal sedangkan cuma 11 orang (0.9%) yang positif daripada 1,138 sampel yang diambil,” kata doktor perubatan itu kepada The Malaysian Insight hari ini selepas notis penangguhan itu diberikan kepada semua ahli Parlimen.

“Faktanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tetapkan kadar positif 5% sebagai tanda ukur bahawa pandemik terkawal dan bila kita tengok dengan jumlah 0.9% di Parlimen, tidak ada sebab untuk cakap adanya wabak.

“Tambahan, banyak sektor penting ada kes jangkitan setiap hari, tetapi selagi prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, perniagaan harian mereka tidak terganggu secara drastik.

“Itulah sebabnya tidak masuk akal,” kata Dr Yii.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin ini juga bertentangan dengan Pelan Pemulihan Negara oleh kerajaan yang bertujuan untuk buka semula negara.

“Kita perlu gesa buat lebih banyak ujian di tempat kerja dan jika kadar positif tidak tinggi, dan selagi SOP dipatuhi, kita semua perlu terus berfungsi dan jalankan tugas kita seperti biasa sambil hidup bersama Covid-19.

“Ini bukti perdana menteri dan kerajaannya pengecut sebab sembunyi di belakang ketua pengarah kesihatan dan tidak berani berhadapan dengan rakyat sebab kegagalan mereka,” kata Dr Yii.

Pada Khamis, Parlimen ditangguhkan lebih awal bagi membolehkan ujian saringan Covid-19 dibuat terhadap semua ahli Parlimen dan kakitangan selepas dua kes positif dikesan. – 31 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan