Lanjutan darurat Sarawak beri pembangkang banyak masa, kata penganalisis
Iklan
PELANJUTAN tempoh darurat di Sarawak memberi lebih banyak masa dan juga peluang kepada parti pembangkang di negeri ini, kata penganalisis politik.
Mereka berkata pelanjutan masa ini membolehkan pembangkang berunding dan bersatu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
“Pelanjutan darurat memungkinkan mereka bergabung. Pembangkang sangat kecamuk dalam menuju pilihan raya,” kata James Chin kepada The Malaysian Insight.
Pakar politik Asia dari University of Tasmania itu berkata, dengan pelanjutan darurat selama enam bulan memberi pembangkang lebih banyak masa.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata darurat di Sarawak dari 2 Ogos hingga 2 Februari 2022 perlu diisytiharkan bagi menangguhkan PRN selain mengekang Covid-19 daripada menjadi lebih serius.
Menerusi satu kenyataan, PMO memaklumkan dengan proklamasi darurat itu, PRN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.
Semalam, melalui webinarnya, Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, JC Fong berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditetapkan semula ke 3 Februari tahun depan dan PRN, tanpa sekatan lanjutan, perlu diadakan dalam 60 hari dari tarikh itu.
Mengikut Perlembagaan, DUN akan dibubarkan secara automatik pada 6 Jun tetapi keadaan darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari membuatkan DUN ditangguhkan sehingga dibatalkan hari ini kerana undang-undang darurat mengatasi Perlembagaan negara.
Bahagian yang dimaksudkan oleh Chin adalah antara DAP dan parti pembangkang utama negeri itu, Parti Sarawak Bersatu (PSB).
DAP berharap dapat buat perjanjian di mana kedua-dua parti itu dapat bekerjasama di kerusi majoriti Cina.
Tetapi itu tidak pernah berlaku kerana hubungan buruk antara ketua DAP negeri Chong Chieng Jen dan presiden PSB Wong Soon Koh sejak 14 tahun lepas, ketika Wong menjawat jawatan menteri dalam Kabinet negeri.
Seperti sekarang, kerusi majoriti Cina seperti kerusi Chong di Kota Sentosa dan Wong di Bawang Assan, dapat menyaksikan pertandingan lima penjuru, untuk menghadapi calon dari GPS, parti pro kemerdekaan seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK), selain calon bebas.
Walaupun mungkin mendapat keuntungan dari kekecohan itu, Chin berkata pelanjutan darurat juga dapat memberikan kerajaan negeri lebih banyak masa untuk mengendalikan pandemik Covid-19 sebelum darurat dibatalkan nanti.
Kata Chin jika kerajaan negeri berjaya, gabungan itu boleh mendapat kemenangan besar untuk meningkatkan lagi peluang mereka kembali berkuasa.
“Ini akan menjadi sesuatu yang bagus buat rakyat. Saya rasa rakyat akan sedar PRN tidak akan diadakan selagi ada Covid-19.
“Apa yang ada dalam fikiran rakyat adalah apa yang terjadi pada Sabah dalam PRN tahun lepas.” – 1 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.