Takiyuddin tak perlu letak jawatan walau Agong murka, kata akar umbi PAS
Iklan
TAKIYUDDIN Hassan tidak perlu meletak jawatan dalam Kabinet walaupun Yang di-Pertuan Agong murka atas tindak-tanduk menteri hal ehwal undang-undang itu, kata pemimpin akar umbi PAS.
Mereka antara lain berpendapat, krisis antara Takiyuddin dengan istana tidak sampai ke tahap penderhakaan dalam isu itu juga lebih besar dari penderhakaan dilakukan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan PAS Johor Rusman Kemin berkata PH lebih derhaka kerana meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Selain itu, tindakan Dr Mahathir Mohamad meminda undang-undang sewaktu krisis perlembagaan pada tahun 1990-an untuk mengehadkan kekebalan Raja-Raja Melayu juga lebih serius, katanya.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, isu melibatkan tindakan Takiyuddin ingkar titah Agong dan membelakangkan kuasa baginda pula hanya diperbesarkan pembangkang melalui media sosial.
“Kalau nak buat perbandingan dengan PH, kita tengok tentang ICERD. Dr Mahathir (Mohamad) sendiri pinda Perlembagaan hadkan imuniti raja-raja.
“Itu isu lagi besar tetapi pada masa itu tiada media sosial.
“Oleh kerana (isu melibatkan Takiyuddin) telah diperbesarkan pembangkang nampak ia begitu besar dan hangat,” kata Rusman.
Selain Takiyuddin, pembangkang juga menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara Idrus Harun dan adiknya speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan meletak jawatan.
Tuntutan itu disuarakan atas peranan mereka menghalang ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat supaya dapat diungkaikan, seperti titah baginda.
Istana Negara dalam satu kenyataan menyebut, ia dititahkan sewaktu Idrus dan Takiyuddin menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Julai.
Bagaimanapun ia tidak dituruti dan sebaliknya kerajaan pimpinan Muhyiddin bertindak dengan membelakangkan kuasa baginda dengan membatalkan ordinan tersebut walau tidak diperkenan.
Takiyuddin seterusnya dalam sidang Dewan Rakyat pada 26 Julai memberitahu, kesemua enam ordinan darurat sudahpun dibatalkan dan tidak perlu lagi dibahaskan.
Perkara itu menimbulkan kemurkaan Al-Sultan Abdullah yang amat dukacita dan turut menyifatkan perkara itu melanggar prinsip rukunegara.
Azhar pula ditekan untuk meletak jawatan kerana membenarkan perkara itu berlaku di Dewan Rakyat tanpa dibentang dan dibahas untuk diungkaikan seperti titah baginda.
Pembangkang menyifatkannya sebagai penderhakaan besar ke atas Yang di-Pertuan Agong, malah ada yang menyifatkan sebagai satu tindakan memerangi baginda.
Mengulas perkara itu, Rusman berkata pembangkang sengaja mengambil kesempatan berkaitan isu pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan Takiyuddin ketika persidangan Parlimen 27 Julai.
“Benda itu dipolitikkan pembangkang, kalau dilihat dari segi penderhakaan tak wujud.
“Namun bila dipolitikkan dan diviralkan orang dapat maklumat daripada sumber media sosial lain dan ada yang terpengaruh.
“Kita kena sedarkan masyarakat sebenarnya mereka yang tuduh kerajaan penderhaka, merekalah penderhaka dengan apa yang mereka dah buat dulu,” kata.
Beliau berkata perkara itu akan dijelaskan PAS untuk mengelakkan pengikut parti terpengaruh dengan tuntutan pembangkang agar Takiyuddin meletak jawatan.
“Kita akan buat penerangan secara umum, dan setakat ini tiada ahli PAS yang minta Takiyuddin letak jawatan.
“Tak timbul isu Takiyuddin kena letak jawatan, pembangkang sahaja yang kata beliau kena letak jawatan.
“Ahli PAS secara keseluruhannya mereka faham isu ini dan tiada rasa negatif kepada kepimpinan untuk minta letak jawatan, mereka tidak mudah melatah,” kata Rusman lagi.
Seorang ahli PAS di Kedah Halim Kamaruddin juga berpendapat, krisis perlembagaan tersebut tidak akan selesai dengan perletakan jawatan Takiyuddin.
Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih lagi serius, lebih mustahak untuk semua pihak mengenepikan soal politik pada waktu ini.
“Ini bukan waktunya nak main politik tak kira kerajaan pembangkang. Ini waktu rakyat terpaksa berkorban hilang kawan hilang nyawa. Macam-macam berlaku.
“Lebih baik kemuka dengan idea yang baik (untuk selesaikan pandemik Covid-19). Idea letak jawatan ini tak selesaikan masalah.
“Maksudnya tak perlu sampai desakan untuk (Takiyuddin) letak jawatan,” katanya.
Ahli Jawatankuasa PAS Kedah Mohd Hilmi Abdul Wahab juga mendakwa desakan untuk Takiyuddin meletak jawatan juga hanyalah permainan politik daripada pihak pembangkang.
Sedangkan, rata-rata penyokong PAS akar umbi melihat Takiyuddin membuat penjelasan mengenai pembatalan ordinan itu di Parlimen mengikut lunas undang-undang.
“Takiyuddin sebab dia pakar undang-undang dan Agong pula hak baginda untuk tegur ataupun sebaliknya.
“Begitu juga dengan peguam negara membuat tafsiran mengikut kapasitinya,” katanya.
Tambahnya. Takiyuddin tidak patut dikecam sebagai pengkhianat dan gelaran itu sepatutnya dipakai oleh pembangkang yang menurutnya mendalangi protes pada Sabtu lalu di Dataran Mereka.
“Pada hari demostrasi di Dataran Merdeka, tak ada pula mereka nak bising. Mereka buat protes ketika kes Covid-19 mencecah 17,000 (sehari).
“Dan demonstrasi ini pula didalangi pembangkang. Jadi yang derhakanya, mereka. Bukan Takiyuddin,” katanya.
Beliau merujuk perhimpunan Keluar dan Lawan pada Sabtu lalu disertai lebih 1,000 golongan muda bagi membantah kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19.
Takiyuddin berjanji untuk menjelaskan isu pembatalan enam ordinan darurat berkenaan dalam persidangan hari ini, namun Dewan Rakyat semalam memaklumkan sesi tersebut tidak akan berlaku.
Menurut sekretariat dewan, perdana menteri mengarahkan ia ditunda dengan alasan kes Covid-19 dikesan menular di bangunan Parlimen. – 2 Ogos, 2021.