Ahli Parlimen bersurai selepas bersemuka FRU
Iklan
SELEPAS kira-kira dua jam ucapan, perhimpunan besar ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur bersurai selepas mereka dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk berarak ke Parlimen.
Mereka mengakhiri protes selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan tujuan kehadiran 107 ahli Parlimen “sudah sampai maksudnya”.
“Speaker (Dewan Rakyat) tidak menepati janji dan gagal menjalankan tugasnya. Tindakan beliau amat memalukan, untuk melindungi perdana menteri yang telah kehilangan keabsahannya,” kata Anwar dalam ucapan di Dataran Merdeka.
Ahli Parlimen berkumpul di Dataran Merdeka dengan pimpinan pembangkang menyampaikan ucapan bersemangat untuk berarak ke Parlimen.
Selain Anwar, mereka yang lain memberi ucapan termasuk Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Bangan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Semporna dan Ketua Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Kota Raja dan Ketua Amanah Mohamad Sabu, Pengasas Muda dan AhliParlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Jerlun serta Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.
Kumpulan itu mula bergerak dengan sepanduk bertulis “Mahiaddin dan Kabinet letak jawatan” dan menyanyi lagu “Inilah Barisan Kita” yang diselang-seli laungan reformasi.
Bagaimanapun, barisan polis menunggu di pintu masuk jalan ke Parlimen berhampiran Bank Rakyat.
Pegawai dari Balai Dang Wangi memberitahu Anwar mereka mesti bersurai dan pemimpin pembangkang itu mematuhinya.
Awal pagi ini, ahli Parlimen pembangkang dihalang memasuki Parlimen dengan ugutan ditahan oleh polis yang melakukan sekatan jalan raya.
Polis mula menyekat mereka daripada pergi ke bangunan Parlimen di jalan berhampiran bangunan Bank Rakyat.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), biasanya digunakan untuk menangani rusuhan, dikerahkan di depan Bank Rakyat dan bersiap sedia sekiranya timbul sebarang masalah.
Antara yang diarahkan agar tidak meneruskannya ialah Ahli Parlimen Jelutong (DAP) RSN Rayer dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii.
Hari ini merupakan hari terakhir mesyuarat khas selama lima hari yang dipersetujui oleh kerajaan Perikatan Nasional walaupun dalam darurat, yang berakhir semalam.
Ahli Parlimen pembangkang mahu kerajaan menjelaskan pembatalan ordinan darurat yang diumumkan minggu lalu dan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sehingga menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat pada Khamis. – 2 Ogos, 2021.