Iklan

HIDE masih digunakan, hanya tidak diumum secara terbuka, kata Khairy

Ragananthini Vethasalam3 years ago2nd Aug 2021Berita
Khairy jamaluddin-01
Khairy Jamaluddin berkata data HIDE tidak didedahkan kepada orang ramai susulan PKP ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.
Iklan

SISTEM Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) masih digunakan tetapi data tersebut tidak diumumkan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata data tersebut tidak didedahkan kepada orang ramai kerana perintah kawasan pergerakan (PKP) ketika ini.

“Kami masih menggunakan HIDE di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan.

“Kami belum mengeluarkan data secara terbuka kerana sekatan pergerakan sekarang, tetapi HIDE masih digunakan untuk memberi amaran kepada beberapa tempat jika ada potensi risiko sesuatu tempat menjadi kluster,” kata menteri sains, teknologi dan inovasi semasa sidang media hari ini.

Dilancarkan pada Mei, HIDE adalah data besar dan sistem kecerdasan buatan yang digunakan untuk mengenal pasti potensi lokasi berisiko virus lebih awal dan membolehkan intervensi bersasar dalam menangani wabak tersebut.

Pada 8 Mei, kerajaan mengeluarkan senarai lebih 100 lokasi berisiko yang merangkumi pusat membeli-belah dan stesen LRT.

Ia menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai dan pengusaha pusat membeli-belah apabila beberapa lokasi diarah tutup segera serta merta.

Bagaimanapun, tiada senarai dikeluarkan sejak itu; membawa kepada persoalan daripada beberapa pihak sama ada ia masih digunakan.

Khairy sebelum ini berkata senarai lokasi berisiko dikeluarkan untuk membantu orang ramai merancang perjalanan mereka dan memutuskan sama ada perlu pergi ke tempat tertentu untuk mengelakkan risiko jangkitan Covid-19. – 2 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan