Iklan

Tubuh kabinet 'perang' sementara, kata Shabery

Mohd Farhan Darwis3 years ago2nd Aug 2021Berita
49933232703 f34e7e0eac o
Dalam tempoh perang melawan Covid-19 sekarang, semua pihak perlu berkorban dan membuat perjanjian sementara, untuk memerangi Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok, kata ahli MKT Umno Ahmad Shabery Cheek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.
Iklan

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Shabery Cheek mencadangkan penubuhan “kabinet perang” yang bersifat sementara khusus untuk menangani pandemik Covid-19 sehingga pilihan raya umum akan datang.

Kabinet perang itu harus disertai wakil semua parti politik dengan fokus utama mengawal penularan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera, kata bekas menteri pentadbiran Najib Razak.

“Kalau kita anggap Covid-19 adalah peperangan, tubuh kabinet perang, jumlahnya kecil, wakil semua parti. 

“Tak payah ramai-ramai tapi berfungsi, buat keputusan perang sahaja, tak payah fikir lulus projek-projek besar, tak payah bajet politikal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Shabery, dalam tempoh perang melawan Covid-19 sekarang, semua pihak perlu berkorban dan membuat perjanjian sementara, untuk memerangi Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok.

“Fokus dan bina keyakinan rakyat, selepas itu bubar (Parlimen) dan adakan pilihan raya umum, dapatkan mandat rakyat semula,” tambahnya.

Bekas ahli Parlimen Kemaman melontarkan idea itu ketika kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhadapan krisis dengan Yang di-Pertuan Agong berkaitan pemansuhan ordinan darurat yang dibuat tanpa perkenan baginda.

Sebagai parti yang ditubuh juga untuk mempertahankan Raja-Raja Melayu lebih 75 tahun lalu, Umno bertanggungjawab untuk terus menjunjung institusi raja. – Gambar Facebook, 2 Ogos, 2021.

Terserah kepada Agong

Mengenai ketua kabinet perang yang dicadangkannya itu, Shabery berkata ia berhak ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Terpulang kepada Yang di-Pertua Agong, tapi kalau tanya saya sudah tentu saya nakkan orang Umno,” katanya, merujuk Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail bagaimanapun mesti mendapat keyakinan semua pihak untuk bersamanya ketika krisis ini, tambahnya.

“Waktu luar biasa mesti berfikir secara luar biasa dan bertindak secara luar biasa,” tambahnya.

Isnin lepas (26 Julai), menteri undang-undang Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat semua ordinan darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai. 

Beliau mendedahkan perkara itu sebagai penjelasan kenapa ordinan berkenaan tidak diusul untuk perbahasan di Parlimen.

Takiyuddin dan seluruh anggota kerajaan Muhyiddin kemudian enggan menjelaskan pertanyaan ahli-ahli Parlimen sama ada pemansuhan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada Khamis (29 Julai), Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan pemansuhan ordinan darurat yang disebut oleh Takiyuddin belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara juga mendedahkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menitahkan agar proses mengungkai ordinan darurat dibuat di Parlimen melalui perbahasan.

Susulan kenyataan Istana Negara, mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Khamis ditangguh sehingga tiga kali sebelum akhirnya ditangguhkan terus atas alasan penularan Covid-19 di Parlimen.

Umno mesti tegas dalam soal krisis antara kerajaan dan istana kerana isu yang berlaku sekarang adalah soal asas kenegaraan dalam sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan, kata Shabery Cheek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.

Umno junjung institusi raja

Menurut Shabery, sebagai parti yang ditubuh juga untuk mempertahankan Raja-Raja Melayu lebih 75 tahun lalu, Umno bertanggungjawab untuk terus menjunjung institusi raja.

Umno mesti tegas dalam soal krisis antara kerajaan dan istana, katanya, kerana isu yang berlaku sekarang adalah soal asas kenegaraan dalam sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan.

“Yang di-Pertuan Agong adalah payung negara. Isu yang dibawa baginda adalah isu rakyat, perlembagaan, demokrasi dan negara, bukan hal peribadi. 

“Umno mesti bersama dengan Raja kerana sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan hasil perjuangan Umno. 

“Umno kena memimpin sikap dan pandangan rakyat mengenai perkara ini, tak boleh benarkan ia dirampas oleh PKR atau DAP pula,” katanya.

Sementara itu, Shabery mengingatkan pimpinan MCA dan MIC iaitu parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak membuat kenyataan yang mengeruhkan keadaan.

Katanya, ini kerana isu melibatkan istana adalah sensitif dan harus ditangani dengan baik.

“Apabila ada isu pertentangan antara perdana menteri dengan istana saya rasa lebih baik MCA dan MIC diam dulu buat seketika. 

“Rakyat lapar dan marah. Semuanya sangat sensitif,” katanya.

Awal hari ini, Setiausaha Agong Umno Ahmad Maslan berkata MKT Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar petang esok untuk membincangkan perkembangan semasa.

Dalam mesyuaratnya pada 7 Julai, MKT Umno membuat keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri. Ia bagaimanapun menyerahkan kepada budi bicara ahli Parlimen Umno untuk membuat pendirian sekiranya ada undian di Dewan Rakyat.

Umno mempunyai 38 ahli Parlimen yang merupakan majoriti daripada 42 ahli Parlimen BN. – 2 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan