Gabungan Parti Sarawak membisu selepas Umno tarik sokongan
Iklan
PEMIMPIN Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil sikap berdiam diri berikutan perkembangan terkini politik negara, namun penyokong Perikatan Nasional (PN) mengatakan kerajaan Muhyiddin Yassin belum tumbang seperti yang dijangkakan ramai.
Pemimpin GPS daripada empat parti masih belum menjawab atau membalas mengenai tindakan Umno menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Setakat petang ini, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing tidak dapat dihubungi.
Bagaimanapun, pembantu Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing berkata ahli Parlimen Bintulu itu hanya akan membuat kenyataan selepas GPS mengeluarkan kenyataan rasmi.
Petang tadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal petang mengumumkan partinya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimennya kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Zahid kemudian berkata kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sudah hilang majoriti dan keabsahan serta perlu meletak jawatan secara terhormat.
Namun, kumpulan dikenali kerana menyokong Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kerajaan PN belum tumbang.
“Secara teknikalnya, PN sekarang kerajaan minoriti,” kata mereka dalam satu kenyataan.
“Kerajaan sudah menjadi kerajaan minoritas dan (Muhyiddin) masih perdana menteri sehingga ada orang lain dapat persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong 111 ahli Parlimen,” tambah mereka.
Kumpulan itu berkata Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perlembagaan tidak mempunyai kuasa untuk memecat perdana menteri.
“Yang di-Pertuan Agong hanya boleh bertitah memperkenankan ahli Parlimen yang ada majoriti untuk menghadap Baginda.
“Namun, kita belum nampak ada sesiapa pun menyatakan beliau ada sokongan majoriti mudah sebanyak 111 ahli Parlimen.
“Perdana menteri perlu dapatkan majoriti mudah 111 orang. Tidak jelas berapa jumlahnya sekarang kerana kita belum ada petunjuk jelas tentang berapa banyak ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin memandangkan sekarang ada penafian daripada mereka yang disenaraikan itu,” kata kumpulan itu. – 3 Ogos, 2021.