Umno jadi penentu siapa bakal tubuh kerajaan, kata penganalisis
Iklan
KERAJAAN tanpa sokongan Umno berisiko untuk tumbang atau tidak stabil kerana parti Melayu itu mempunyai blok yang besar di Parlimen dan boleh menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan, kata penganalisis politik.
Menurut mereka, Umno dalam gabungan tidak mungkin mahu berada di kerusi belakang yang mana ia tidak mampu membuat keputusan, sama seperti dalam kerajaan Perikatan Nasional.
“Keutamaan Umno selepas kekalahan 2018 selalu jelas. Pilihan pertama mereka adalah menjadi rakan kanan dalam kerajaan, pilihan kedua adalah menjadi rakan muda dalam kerajaan dan pilihan ketiga adalah menjadi pembangkang.
“Langkah Sheraton hanya menaik taraf Umno daripada pembangkang kepada rakan muda dalam kerajaan,” kata ahli sains politik Wong Chin Huat kepada The Malaysian Insight.
Ini tidak akan berlaku bagi Umno yang ingin menguasai landskap politik dengan menyingkirkan Bersatu, katanya.
Tambah Wong keputusan Umno semalam untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional tidak mengejutkan, namun ia mungkin tidak boleh berbuat demikian tanpa kesilapan Putrajaya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan parti itu memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan selepas Majlis Kerja Tertinggi memutuskan untuk menyokong Agong berhubung krisis antara kerajaan dan Istana Negara menegnai pembatalan Ordinan Darurat yang tidak dibentangkan di Parlimen.
Keputusan Muhyiddin semalam bahawa ordinan itu akan dibahaskan di Parlimen pada September bagaimanapun gagal mempengaruhi parti itu.
Kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu kerana mengelirukan Parlimen berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat tanpa perkenan Agong.
Penganalisis politik Oh Ei Sun mengatakan bahawa Malaysia harus bersaing dengan Umno di peringkat teratas untuk masa yang akan datang.
“Gabungan tanpa Umno adalah tidak stabil, itu yang kita lihat dalam Pakatan Harapan. Gabungan tanpa Umno, sebagai peneraju dalam gabungan juga tidak akan stabil.
“Dalam erti kata lain, negara ini ditakdirkan untuk memiliki Umno di puncak, jika tidak, ia tidak akan stabil, sekurang-kurangnya untuk masa yang akan datang,” kata Oh.
Umno mempunyai 38 ahli Parlimen dalam 220 kerusi Parlimen. Dalam pentadbiran Muhyiddin, ia memegang sembilan jawatan menteri dan lapan timbalan menteri.
Terbaharu, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri manakala Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan dalam hal ehwal luar negara.
Pengarah Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata Umno boleh wujudkan atau jatuhkan kerajaan kerana mereka kini “king maker”.
“Umno memilliki sejumlah besar ahli Parlimen, mereka adalah king maker (dalam mana-mana gabungan).
“Ia juga membuktikan presiden parti masih menerajui parti kerana beliau mampu memastikan keputusan majlis tertinggi selari dengannya.
“Ini menunjukkan Umno telah membuat keputusan untuk meninggalkan PN walaupun ia menerima jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.
Umno yang menerajui Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum ke 14 pada 2018 selepas 60 tahun berkuasa.
Pakatan Harapan yang mengambil alih dari BN tumbang selepas 19 bulan berkuasa susulan peletakan jawatan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu yang keluar dari gabungan itu.
Bersatu, yang dipimpin oleh Muhyiddin, kemudian membentuk gabungan yang lemah dengan Umno. Hubungan ribut ini berakhir selepas 17 bulan yang menyaksikan kejatuhan pentadbiran Perikatan Nasional. – 4 Ogos, 2021.