Iklan

Fahmi Fadzil buat laporan polis terhadap Zuraida

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago4th Aug 2021Berita
Fahmi fadzil wak
AAGLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, atas dakwaan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Ogos, 2021.
Iklan

AHLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin atas dakwaan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat.

Menurut Fahmi tindakan Zuraida mempersoalkan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menegur kerajaan jelas menunjukkan keangkuhan ahli Parlimen Ampang itu.

Dalam rancangan bual bicara Consider This di Astro Awani pada Isnin lalu, Zuraida berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan ordinan darurat pada 29 Julai adalah tidak “tidak wajar”.

Beliau juga berkata Yang di-Pertuan Agong boleh mendapatkan penjelasan daripada Kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

“Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa YDPA perlu mendapatkan penjelasan daripada Kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah adalah biadap dan tidak jauh dari satu bentuk penderhakaan.

“Zuraida sekali gus bertindak mempertikaikan kebijaksanaan dan kuasa Agong di dalam titah berkenaan pembatalan Ordinan Darurat yang perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memenuhi Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau wajar dilaporkan dan disiasat sekiranya telah melangkaui batas dalam kenyataan tersebut,” katanya kepada wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Kenyataan Zuraida itu juga mungkin bersifat mengapi-apikan mana-mana golongan dan berkemungkinan melanggar Seksyen 505 Kanun Keseksaan, tambah Fahmi.

Beliau seterusnya menggesa polis segera menyiasat kenyataan Zuraida yang tidak menghormati fungsi Agong sebagai ketua utama negara. – 4 Ogos, 2021. 

Iklan
Iklan