Iklan

Menteri, Adun terus dapat gaji sampai DUN Sarawak dibubarkan, kata speaker

Desmond Davidson3 years ago4th Aug 2021Berita
49934334218 30c9baa374 o
Speaker DUN Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar berkata semua ahli kabinet dan Adun negeri itu akan terus menerima gaji dan elaun serta faedah lain sepanjang darurat berkuat kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.
Iklan

AHLI kabinet dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak akan terus menerima semua gaji, elaun dan apa sahaja faedah lain sepanjang darurat berkuat kuasa, kata Speaker DUN Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini.

Beliau berkata Seksyen 5 dan Seksyen 6(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 “jelas dan tersirat”.

“Gaji dan faedah kepada Adun di bawah Seksyen 5, sepanjang Darurat berkuat kuasa sehingga tarikh pembubaran DUN, mereka berhak mendapat gaji dan apa-apa elaun dan faedah lain di bawah undang-undang bertulis,” kata Asfia.

Asfia berkata di bawah Seksyen 6 (2) Ketua Menteri dan ahli kabinetnya berhak mendapat gaji dan apa-apa elaun dan faedah lain yang harus dibayar kepada mereka dibawah undang-undang bertulis.

Asfia berkata, duluan undang-undang juga menunjukkan badan perundangan tidak ada kuasa untuk menahan gaji dan elaun Adun.

Beliau turut menegaskan pembayaran gaji dijamin berdasarkan Perkara 64 Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh lima tahun DUN Sarawak berakhir pada 6 Jun tetapi pilihan raya tidak dapat diadakan kerana darurat dari 7 Jun hingga 1 Ogos. Ia dilanjutkan lagi dari 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Dalam taklimat media maya bagi menjelaskan keadaan darurat di Sarawak dan pelanjutan DUN, Asfia berkata darurat yang berkuat kuasa dari Isnin hingga 2 Februari tahun depan bukanlah lanjutan daripada darurat untuk keseluruhan Malaysia dari 12 Januari hingga Ahad lalu.

Katanya, darurat Sarawak dibuat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 sementara darurat kebangsaan diisytiharkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 adalah ordinan baharu yang khusus untuk Sarawak”.

Katanya, ordinan Sarawak itu terpisah dan berbeza dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sebelum ini. – 4 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan