Iklan

Abang Johari sifatkan Muhyiddin berani

Desmond Davidson3 years ago4th Aug 2021Berita
Abang johari openg
Presiden GPS Abang Johari Openg menyifatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin cukup berani untuk membentangkan usul undi percaya di Parlimen pada September ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.
Iklan

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin cukup berani untuk membentangkan usul undi percaya terhadapnya di Parlimen pada September ini, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Keputusan itu disifatkan bijak, sekali gus membuktikan Muhyiddin bersedia menghadapi kemungkinan gagal mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, tambah presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Dalam hal ini GPS menyokong pendirian perdana menteri untuk membawa usul kepada Dewan dan meyakinkan sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti atau tidak. 

“Di sana sepatutnya (Dewan Rakyat). Kamu tidak boleh mengandaikan yang kamu mendapat sokongan majoriti. 

“Saya rasa itulah keputusan yang baik untuk negara kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di Kuching, hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata pihak yang menentang Muhyiddin sepatutnya tidak terburu-buru, dan harus menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan untuk mengambil alih kerajaan.

“Penggal Dewan Rakyat akan berakhir kurang dua tahun dari sekarang, jadi kenapa pihak yang mendesak itu tidak mahu menunggu sehingga PRU15. 

“Kenapa perlu bertelagah seperti ini?” katanya.

Abang Johari turut menegaskan GPS akan terus memberi sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional. 

Sokongan itu bagi menjamin kerajaan yang stabil dalam menangani pandemik Covid-19, jelasnya. – 4 Ogos, 2021. 

Iklan
Iklan