Muhyiddin perlu buktikan majoriti sekarang, kata pemimpin muda
Iklan
PARA pemimpin golongan muda mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengusulkan undi percaya di Parlimen secepat mungkin, bukannya melambatkan sampai September depan ketika rakyat sedang keliru dengan keabsahan kerajaan sekarang ini.
Mereka berkata krisis politik sekarang lebih kepada mementingkan perut sendiri berbanding hak rakyat Malaysia terutamanya ketika ramai hilang nyawa dan menderita hilang kerja kerana pandemik Covid-19.
Mereka mahu kerajaan selesaikan isu perdana menteri secepat mungkin supaya negara boleh bergerak maju dengan kerajaan yang prihatin membantu menyelesaikan pelbagai isu utama yang ada.
Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar, wakil Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), gerakan yang mengemudi protes Lawan berkata, jika Muhyiddin yakin ada majoriti, beliau perlu buktikannya di Parlimen dengan segera.
“Itu pilihan terbaik kerana dapat tegakkan semula legitimasi Parlimen bagi menentukan arah tuju kepemimpinan negara,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, SSR masih menganggap Muhyiddin tidak layak untuk kekal sebagai perdana menteri, malah sentiasa mahu beliau letak jawatan dengan segera. Menggesa Muhyiddin berundur merupakan salah satu daripada tiga tema utama protes Lawan pada Sabtu lalu.
Asraf berkata, kucar-kacir politik sekarang ini perlu ditamatkan supaya rakyat kembali percaya dengan sistem politik dan Parlimen.
“Kami juga harap tidak akan ada lagi lompat-lompat parti sebab ia akan hilangkan kepercayaan rakyat terhadap sistem,” katanya.
Semalam Muhyiddin mengumumkan beliau akan membawa usul percaya apabila Parlimen bersidang semula pada September. Ini bagi menunjukkan beliau masih ada sokongan.
Perdana menteri berkata perkara ini diputuskan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi semalam di mana beliau telah menyembah maklum kepada Baginda bahawa beliau masih ada sokongan majoriti di Parlimen.
Naib presiden dan pengasas bersama Muda, Dr Thanussha Francis Xavier lebih garang apabila berkata punca Muhyiddin melambatkan sidang Parlimen agar beliau ada lebih masa untuk beli atau ugut ahli Parlimen dengan tindakan mahkamah supaya menyokongnya.
“Usul percaya perlu dibuat secepat mungkin!” katanya.
Kata Dr Thanussha, walaupun permainan kuasa telah beberapa dekad menjadi isu utama politik, namun sangat keji dan kejam apabila ahli politik sibuk dengan kuasa mereka ketika ramai rakyat merana, hilang mata pencarian dan masa depan dirompak.
Beliau memberi contoh vaksinasi perlahan di negeri-negeri pembangkang kerana Kementerian Kesihatan melambat-lambatkan pengagihan vaksin Covid-19.
“Pentadbiran Perikatan Nasional kena mengaku gagal dan letak jawatan daripada berusaha untuk kekal berkuasa dengan menyiasat aktivis muda dan wakil rakyat,” katanya. – 5 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.