Iklan

Kadar vaksinasi tinggi tidak bermakna selamat untuk tamat PKP, kata Dr Adeeba

Hailey Chung Wee Kye3 years ago5th Aug 2021Berita
Mobile outreach programme covid19 tmi 010
Kadar vaksinasi terbaru menunjukkan 22.64 juta dos vaksin Covid-19 diberikan dan daripada jumlah itu, 14.9 juta atau 45.8% populasi dewasa sudah menerima dos pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021.
Iklan

KADAR vaksinasi yang tinggi bukan petanda negara ini boleh dibuka tidak lama lagi, kata pakar penyakit berjangkit Prof Dr Adeeba Kamarulzaman hari ini.

Beliau berkata sebabnya ialah hospital terutama di Lembah Klang, masih bergelut untuk menangani jangkitan harian kes Covid-19.

Dr Adeeba berkata Putrajaya juga perlu mengambil kira jumlah besar individu pendatang asing tanpa dokumen, pekerja warga asing dan pelarian masih belum mendapat suntikan vaksin.

Kadar vaksinasi terbaru menunjukkan 22.64 juta dos vaksin diberikan dan daripada jumlah itu, 14.9 juta atau 45.8% populasi dewasa sudah menerima dos pertama, dan 7.7 juta atau 23.6% populasi itu menerima dua dos.

“Kita sangat terdesak untuk mendapatkan katil dan mewujudkan unit rawatan rapi (ICU) untuk menyelamatkan nyawa, jadi untuk membuka semula negara ini walaupun kadar vaksinasi mencapai 100%, ia keputusan kurang matang.

“Agak mustahil untuk mencapai kadar vaksinasi 100% kerana terlalu ramai pendatang tanpa izin yang mungkin tidak divaksin,” katanya dalam forum secara atas talian bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank Dominic Silva hari ini.

Beliau berkata pembukaan semula masyarakat perlu dibimbing dengan insiden, ini bermakna ia berdasarkan kepada jumlah kes baharu bagi setiap 100,000 populasi.

“Pada masa ini, kes 200 hingga 300, iaitu pada paras empat komuniti mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya yang juga anggota Majlis Sains WHO.

Tanda lain, katanya ialah peratusan kes positif dan penggunaan ICU.

“Kita perlu lihat semua petanda itu dan parameter sebelum buka semula. Kalau tidak, ia akan melonjak semula,” katanya.

Dr Adeeba yang juga ahli jawatankuasa petugas khas Covid-19 Selangor berkata jumlah penggunaan katil ICU di Lembah Klang sangat tinggi.

“Saya boleh berkongsi kisah ngeri di hospital di mana doktor perlu buat keputusan alat bantuan pernafasan pesakit yang mana perlu ditutup bagi membolehkan ia diberi kepada pesakit lebih muda yang turut memerlukannya,” katanya.

Dr Adeeba berkata beliau bukan menyokong perintah kawalan pergerakan, melihat kepada kes bunuh diri dan keganasan domestik yang meningkat, tetapi menekankan ada cara untuk melindungi kesihatan mental dan kebajikan kanak-kanak.

“Dengan sains dan pengetahuan baharu, kita tahu berada di luar dan jauh daripada orang lain adalah selamat.

“Tetapi dengan membenarkan makan di premis restoran dan buka semula gymnasium di Lembah Klang pada masa ini, saya tidak akan setuju.

“Kerana sebaik saja anda tanggalkan topeng pelitup muka, ketika itu akan berlaku risiko jangkitan, walaupun kepada individu yang sudah divaksin,” katanya. – 5 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan