Iklan

Orang Asli sambut baik program bakul makanan

Aminah Farid3 years ago5th Aug 2021Berita
Orang asli (3)
Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan program bakul makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021.
Iklan

MASYARAKAT Orang Asli menyambut baik program bantuan bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Aktivis Orang Asli Tijah Yok Chopil, 53, yang menetap di Kampung Kudung Bekok di Johor, berkata program tersebut memberi kelegaan kepada masyarakat itu terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Melalui program ini, setiap keluarga menerima 10kg beras, tiga bungkus minyak masak, biskut, gula dan garam. Bagi saya, ini sangat membantu penduduk kampung. katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi kita pun tahu, bilangan ahli keluarga ramai. Ketua keluarga masih perlu bekerja supaya tidak putus bekalan makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan program bakul makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Selain itu, sejumlah RM300,000 diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi  bantuan bakul makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Seorang lagi Orang Asli, Yusri Ahon, 58, yang menetap di Kampung Orang Asli Sungai Mai di Jerantut, Pahang, berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan tersebut meringankan beban mereka.

Program bakul makanan ini memberi manfaat kepada lebih 400 penduduk di kampungnya, kata Yusri.

Bagi Ali Kuchi dari suku Jakun di Kg Pinang di Jalan Muadzam Shah Rompin di Pahang pula, bakul makan dan bantuan lain sangat membantu penduduk kerana mereka masih tidak dibenarkan keluar walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kampungnya sudah ditamatkan.

“Kami bersyukur kerana bekalan makanan kami tidak banyak sebab kami masih belum boleh bebas bergerak,” katanya.

Peguam dan aktivis Orang Asli Bah Tony memberitahu The Malaysian Insight, program bantuan makanan meringankan beban masyarakat itu susulan ramai yang hilang pekerjaan semasa pandemik. Kebanyakan mereka masih sukar untuk mendapat kerja, tambahnya.

Tony, yang tinggal di Kg Ampang Woh di Tapah, Perak, berkata pandemik Covid-19 menyebabkan ramai dibuang kerja atau terjejas pendapatan.

“Situasi ini menyukarkan penduduk kampung untuk menjual hasil kebun, ada juga yang diberhentikan kerja.

“Jadi, bantuan bakul makanan ini amat diperlukan keluarga Orang Asli, memandangkan pendapatan mereka terjejas teruk,” katanya. – 5 Ogos, 2021. 

Iklan
Iklan