Iklan

Kematian Covid-19 cecah 10,000 kes, kemasukan ke ICU meningkat

Aminah Farid3 years ago5th Aug 2021Berita
Covid-19 corona virus funeral 04
Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini mencecah 10,019 kes selepas sebanyak 164 kematian dilaporkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021.
Iklan

JUMLAH keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini mencecah 10,019 kes selepas sebanyak 164 kematian dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah kematian hari ini menunjukkan negara mencatatkan lebih 1,000 kematian dalam masa kurang seminggu. Pada Sabtu lepas jumlah kematian akibat wabak ini melepasi angka 9,000 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata, jumlah pesakit di ICU juga meningkat dari 1,069 pesakit semalam kepada 1,078 pesakit dengan lebih separuh atau 549 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Sementara itu Noor Hisham berkata, negara mencatat 13,893 kes pulih menjadikan jumlah kes pesakit pulih keseluruhan sebanyak 976,626 kes. 

Dari jumlah kematian berkenaan, 45 kes dikesan di Selangor, 27 di Johor, 24 di Kuala Lumpur, 18 di Kedah, 10 di Perak, sembilan kes masing-masing di Sabah, Pulau Pinang dan Melaka; tujuh di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Sarawak dan Pahang, masing-masing satu di Kelantan serta Terengganu.

Seramai 127 mangsa mempunyai sejarah penyakit sementara 22 meninggal dunia di luar hospital.

Malaysia mencatatkan 20,596 kes Covid-19 hari ini. Dari jumlah itu, Noor Hisham berkata hanya 1.9% atau 398 dari kategori 3 (pneumonia), 4 (pneumonia dan memerlukan alat sokongan oksigen) dan 5 (tahap kritikal).

Sementara itu, seramai 20,198 adalah pesakit kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Noor Hisham berkata, 4,660 kes hari ini sudah menerima vaksin Covid-19 di mana mereka dijangkiti virus selepas diimunisasi.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) semasa negara pula adalah 1.07.

“Negeri yang mencatat nilai Rt tertinggi adalah Terengganu (1.26), Kelantan (1.31), diikuti oleh Perak (1.22).

“Semua negeri mencatatkan nilai Rt di atas 1.0 kecuali Labuan, Perlis dan Negeri Sembilan,” katanya. – 5 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan