Iklan

Saya belum bebas selagi Malaysia tidak bebas, kata Sarah Irdina

Hailey Chung Wee Kye3 years ago6th Aug 2021Berita
Sarah irdina
Iklan

SARAH Irdina Mohammad Ariff, aktivis belia yang ditahan polis kerana menulis kenyataan anti-kerajaan menerusi Twitter berkata, dia tidak dibebaskan sepenuhnya sehingga Malaysia bebas.

Pelajar Perhubungan Antarabangsa di sebuah universiti swasta itu berkata, itu adalah pengalaman pertamanya ditahan oleh polis tetapi pengalaman mengerikan dalam usaha memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

“Taktik intimidasi oleh kerajaan ini dilakukan untuk menghalang kami bersuara, tetapi kami tidak akan membiarkannya terjadi.

“Kita harus terus memperjuangkan Malaysia selayaknya dan Malaysia yang akan menjadi generasi masa depan kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengasas bersama dan setiausaha Misi Solidariti mendorong agar belia mempunyai aspirasi serupa untuk mempraktikkan kebebasan bersuara.

Anak muda berusia 20 tahun ini ditahan pada 29 Julai lalu kerana memuat naik catatan di Twitter yang disiarkan di bawah profil Misi: Solidariti di mana dia menggesa belia untuk mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan Lawan yang meminta peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dia ditangkap dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan keras terhadap aktivis baru-baru ini pasti menakutkan golongan muda untuk membantah.

“Saya tahu ramai daripada kita yang marah, tetapi saya mengingatkan semua orang untuk selalu mengutamakan keselamatan mereka.

“Ini tidak bermaksud tidak bersuara tetapi perlu pandai dan berhati-hati ketika melakukannya,” katanya.

Bahkan sebelum perhimpunan Lawan Sabtu lalu, pihak berkuasa sudah pergi ke rumah dan menyoal ahli keluarga mereka.

Keluarga Sarah juga berdepan intimidasi beberapa hari sebelum perhimpunan. Polis menyerbu rumahnya sebelum membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Ibu Sarah, yang tidak mahu dikenali namanya berkata, sebagai ibu bapa, dia memahami ketakutan melihat anak-anak bersuara dan memprotes kerana ia berisiko.

“Tetapi saya meminta ibu bapa untuk memberi sokongan sebanyak mungkin terhadap apa yang dilakukan oleh anak muda. Apa yang mereka lakukan adalah untuk kemajuan negara kita dan masa depan mereka.

“Sudah tiba masanya kita bersatu sebagai ibu bapa yang menyokong anak-anak kita mendapatkan Malaysia yang selayaknya,” kata ibu Sarah.

Sarah berkata, protes Lawan baru-baru ini baik dalam talian dan luar talian menunjukkan rakyat lebih kuat dari sebelum ini.

“Idea saya untuk Malaysia yang lebih baik adalah menjaga dan melindungi semua orang; di mana keperluan semua dan bukan hanya 1% diutamakan.

“Selagi saya mempunyai impian ini, saya tidak akan berhenti memperjuangkan Malaysia yang mengutamakan rakyatnya,” katanya.

Sarah menambah bahawa dia hanyalah rakyat biasa dari Sungai Buloh dan baru setahun menjadi aktivis.

“Saya memahami ada banyak yang perlu dipelajari mengenai organisasi akar umbi dan pemerkasaan belia itu sendiri.

“Dikelilingi oleh aktivis cemerlang yang tanpa lelah membimbing dan memberi inspirasi kepada saya melalui karya mereka telah membantu menambahkan pengetahuan saya dalam aktivisme,” katanya.

Sarah yang mempunyai dua adik lelaki berkata, ketidakdilan dan serangan peribadi telah mendatangkan semangat dalam dirinya.

“Penting bagi saya untuk menggunakan hak istimewa saya untuk membantu mereka yang tidak memilikinya. Keistimewaan bermaksud mempunyai kemewahan pilihan.

“Bagi masyarakat yang terjejas, menjadi ahli politik bukanlah pilihan. Ini adalah masalah hidup dan mati yang berat,” katanya. – 6 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan