31 ahli Parlimen BN tetap sokong Perikatan, kata Ismail Sabri
Iklan
SERAMAI 31 orang ahli Parlimen BN tetap menyokong kerajaan sehingga Parlimen bersidang untuk menentukan keabsahannya, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Naib presiden Umno itu berkata demikian dalam sidang media bersama 17 orang lagi ahli Parlimen dalam sidang media hari ini.
“Kami menjunjung titah duli Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan supaya kerajaan hari ini teruskan pentadbiran dan tentukan keabsahan di Parlimen,” kata Ismail.
Kumpulan itu tampil hari ini selepas Umno mengeluarkan surat kepada ahli Parlimen parti itu untuk menyatakan pendirian sama ada menolak atau terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Surat berkenaan diedarkan apabila didapati hanya 11 ahli Parlimen Umno termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan menarik sokongan ke atas kerajaan PN.
Surat tersebut dilaporkan memberi tempoh sehingga 7 Ogos kepada semua ahli Parlimen Umno untuk menyatakan pendirian tersebut.
Perkembangan tersebut berlaku walau Umno pada 7 Julai lalu memutuskan setiap ahli Parlimen bebas untuk mengundi di Parlimen nanti tanpa terikat dengan ketetapan parti.
Ia rentetan kepada keputusan Umno menarik sokongan ke atas Muhyiddin Yassin dan menuntut perdana menteri itu meletak jawatan kerana gagal menangani pandemik dan krisis ekonomi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata soal untuk mempersembahkan sebarang bukti sokongan juga tidak lagi timbul memandangkan baginda sudahpun memperkenan agar ia dibuktikan di Parlimen.
Ia merujuk pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Rabu bahawa baginda memperkenan agar keabsahan kerajaan ditentukan ahli Parlimen dalam sidang September.
Muhyiddin bertindak demikian sehari selepas Zahid mengumumkan Umno menarik balik sokongan ke atas kerajan PN.
“Jelas istana tidak lagi terima akuan bersumpah atau surat sokongan,” kata Ismail lagi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata sebarang usaha untuk mempersembahkan bukti sokongan tersebut bertentangan dengan perkenan dan keputusan baginda.
“Kami setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan akan patuh kepada titah baginda. Apa pun perkara perlu dilakukan di Parlimen.
“Kami berpandangan perkara lain di luar perkenan tuanku. Hantar SD atau surat akuan termasuk tindakan yang boleh runtuhkan kerajaan sebelum (sidang) Parlimen diadakan,” katanya.
Ketika ditanya, Ismail Sabri Yaakob juga berkata beliau masih belum menerima sebarang surat daripada Umno untuk menyatakan pendirian tersebut.
Katanya, ahli-ahli Parlimen Umno yang menerima surat itu akan mengkaji tindakan selanjutnya ekoran sikap mereka tidak meletakkan jawatan dalam kerajaan dan menyokong PN.
“Saya tidak tahu apa kandungan surat itu, adakah surat tunjuk sebab yang perlu saya jawab, saya pun tidak tahu lagi.
“Saya pun tidak tahu apa kesalahan adakah patuh dan akur titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan.
“Jika menjadi kesalahan, tidak tahu siapa yang derhaka, siapa tidak derhaka,” kata ahli Parlimen Bera itu lagi yang menggesa agar Ahmad Zahid bertemu mereka untuk menjelaskannya.
Ditanya mengenai pendirian Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Ismail Sabri berkata ahli Parlimen berkenaan masih belum dapat dihubungi.
Berikut senarai 20 orang yang disebut Ismail Sabri sebagai ahli Parlimen BN yang hadir pada hari ini:
Mahdzir Khalid (Padang Terap)
Shahidan Kassim (Arau)
Idris jusoh (Besut)
Noh Omar (Tanjong Karang)
Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).
Hasan Ariffin (Rompin)
Abdul Azeez Rahim (Baling)
Annuar Musa (Ketereh)
Halimah Sadique (Kota Tinggi)
Ismail Mohd Said (Kuala Krau)
Abdul Rahman Mohd (Lipis).
Ismail Mutalib (Maran)
Shahar Abdullah (Payar Besar)
Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar)
Ahmad Hamzah (Jasin)
Nazri Aziz (Padang Rengas)
Jalaluddin Alias (Jelebu)
Salim Sharif (Jempol)
Wee Ka Siong (Ayer Hitam)
M Saravanan (Tapah)
Ismail Sabri turut membacakan nama 10 lagi ahli Parlimen yang menurutnya turut kekal menyokong kerajaan PN tetapi tidak hadir dalam sidang media itu:
Khairy Jamaluddin (Rembau)
Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas)
Dr Adham Baba (Tenggara)
Hishammuddin Hussein (Sembrong)
Mohamad Alamin (Kimanis)
Nizar Zakaria (Parit)
Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)
Arthur Joseph Kurup (Pensiangan)
Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar)
Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).
Dua ahli Parlimen, Noh dan Abdul Azeez kemudian dalam kenyataan masing-masing secara berasingan menafikan menyokong Muhyiddin.
Kedua-duanya juga menjelaskan, mereka hanya menurunkan tandatangan sebagai kehadiran mesyuarat bersama Ismail dan bukannya sebagai tanda menyokong Muhyiddin. – 6 Ogos, 2021.