MIC, MCA umum sokong kerajaan sedia ada
Iklan
MIC dan MCA tetap menyokong kerajaan sedia ada seperti yang ditetapkan Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu, kata para pemimpin parti komponen itu.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata pendirian itu tidak akan berubah selagi keputusan dibuat BN itu kekal.
“MCA mengambil pendirian berpegang teguh kepada ketetapan yang dibuat BN tahun lalu iaitu untuk kekal menyokong kerajaan sedia ada.
“Selagi keputusan itu kekal kita rasa terpanggil bawa laporan ini bersama dengan rakan seperjuangan dalam BN.
“Dan kita akan bersama dan kita mementingkan rakyat, soal Covid kita uruskan, dan akhirnya rakyat buat keputusan,” katanya sewaktu tampil dalam sidang media bersama 20 lagi ahli Parlimen BN.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan juga berkata parti itu berpegang kepada pendirian sama yang ditetapkan keputusan Majlis Tertinggi parti itu dan pucuk pimpinan BN.
“MIC dan MCA tetap akur dengan keputusan BN sebab kami telah diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN. Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN, kita teruskan sokongan kita.
“Kedua, kita sudah tetapkan tidak akan bekerja dengan DAP, Bersatu, dan PKR,” katanya lagi.
Oleh itu, keputusan untuk menarik sokongan ke atas kerajaan itu hanya akan mengelirukan pemimpin dan juga penyokong memandangkan BN hanya menguasai 41 kerusi waktu ini.
“Maka dengan 41 kerusi apa hala tuju kita, ini satu soalan yang saya sebagai wakil rakyat perlu jelaskan kepada ahli parti,” katanya.
Menurut Saravanan, bukan sahaja beliau keliru malah satu Malaysia keliru dengan pendirian untuk tidak sokong kerajaan sedia ada.
“Jadi bila BN keluar, kerajaan akan jatuh. Tiada mana-mana parti yang ada ahli Parlimen mencukupi untuk tubuhkan kerajaan. Apa nak jadi?” katanya.
Beliau tampil bersama Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan nama 31 ahli Parlimen BN yang kekal menyokong kerajaan PN.
Ismail mengumumkan, kumpulan itu terus menyokong kerana Yang di-Pertuan Agong memperkenan agar kerajaan meneruskan pentadbiran sehingga keabsahannya ditentukan di Parlimen.
Kumpulan itu tampil selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya semua ahli Parlimen parti itu menolak Perikatan Nasional dan meletak jawatan dalam kerajaan. – 6 Ogos, 2021.