Kes Covid-19 terus meningkat, 20,889 jangkitan baharu hari ini
Iklan
MALAYSIA mencatatkan satu lagi rekod baharu Covid-19 apabila sebanyak 20,889 kes dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Tidak sampai dua hari, negara ini mencatatkan 41,854 kes selepas 20,596 kes dilaporkan pada Rabu lepas.
Daripada jumlah itu, 11,275 kes adalah dari Lembah Klang dengan Selangor melaporkan 8,792 dan Kulala Lumpur dengan 2,483 kes.
Sementara itu jumlah tertinggi juga dilaporkan di Kedah (1371), Sabah (1291), Johor (1275), Negeri Sembilan (986), Kelantan (938), Penang (776), Sarawak (652), Perak (624), Pahang (610), Melaka (491), Terengganu (460) Putrajaya (122), Labuan (9) dan Perlis (9).
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim hari ini berkata varian Delta yang mudah berjangkit menjadi strain dominan di Malaysia menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.
Hishamshah berkata, strain asal yang menyebabkan jangkitan awal tahun lalu mempunyai kadar jangkitan 2.5.
Secara perbandingan, varian Delta yang pertama kali dikesan di India mempunyai kadar jangkitan jauh lebih tinggi dengan seorang dapat menyebarkan virus kepada lapan individu lain.
Beliau berkata, varian membimbangkan ini juga merupakan strain dominan dalam kes Covid-19 yang dilaporkan di Lembah Klang.
Sehingga semalam, Malaysia sudah memberikan 514,674 dos vaksin Covid-19 sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, 220,839 adalah dos pertama sementara 293,835 adalah penerima dos kedua, katanya.
“Jumlah pemberian vaksin Covid-19 pada hari ini adalah 23,161,255 dos,” katanya memetik data dari Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Secara keseluruhan, 15,162,424 merupakan penerima dos pertama dan 7,998,831 adalah penerima dos kedua,” katanya.
Kerajaan menyasarkan untuk memvaksinasi seluruh populasi dewa menjelang Oktober. – 6 Ogos, 2021.