Iklan

Jangan abaikan penjagaan gigi ketika pandemik, kata doktor

Hailey Chung Wee Kye3 years ago8th Aug 2021Berita
Sop covid 19  20201007 hasnoor 007
Pemakaian pelitup muka menyebabkan wujud rasa tidak peduli kepada penjagaan gigi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2021.
Iklan

ORANG ramai sudah tidak mengendahkan penjagaan gigi ketika pandemik Covid-19, kata doktor gigi awam dan swasta.

Mereka berkata pesakit kini sudah tidak rasa adanya keperluan mendesak untuk menjaga gigi kerana dapat menyembunyikan masalah mereka disebalik pelitup muka.

Antara alasan lain untuk tidak menjalani pemeriksaan gigi kerana takut dijangkiti Covid-19, manakala yang lain cuba berjimat cermat kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan sekatan pergerakan.

Dr Lim Ghee Seong, pensyarah pergigian kanan Universiti Malaya berkata ada beberapa pesakit malah mengaku tidak menggosok gigi sejak sekian lama.

“Malah ada ahli keluarga saya pun mengaku tidak gosok gigi.

“Alasan yang mereka beri ‘Siapa hendak tengok gigi dan bau nafas saya waktu pakai pelitup muka?’” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang melakukan penyelidikan bersama mengenai perubahan tabiat kebersihan mulut rakyat Malaysia.

Tambah Lim permintaan untuk rawatan pergigian tertentu, terutama yang mahal untuk tujuan kecantikan, seperti tampalan komposit dan mahkota seramik, juga menurun.

“Sebab kenapa ia menurun kerana ramai hilang kerja atau punca pendapatan sepanjang pandemik ini.

“Dan pandangan mengenai keperluan kecantikan telah berubah kerana kita pakai pelitup muka semasa bersosial sekarang ini,” katanya.

Lim juga sedar ramai pesakit membatalkan janji temu kerana sekatan pergerakan atau takut dijangkiti Covid-19.

“Pesakit yang datang semasa pandemik perlukan pengurusan kesakitan seperti menyelesaikan masalah sakit gigi,” kata Lim.

Pada masa ini, klinik pergigian universiti awam hanya merawat pesakit kecemasan, seperti yang diarahkan pihak pengurusan universiti.

“Kami hanya akan buat rawatan segera kepada pesakit dengan keadaan kecemasan seperti sakit atau jangkitan teruk.

“Selebihnya, kami akan nasihat mereka pergi ke klinik swasta terdekat. Ini adalah langkah yang baik untuk mengelakkan orang ramai berkumpul di tempat terkurung,” kata Lim.

Dr Chong Wei Seng, yang mengendalikan Puchong Twinkle Dental Clinic di Puchong, berkata klinik kerajaan yang sesak menyebabkan klinik swasta menerima lebih ramai pesakit ketika pandemik ini.

“Namun, masih ada penurunan pesakit secara keseluruhan dan ada beberapa pesakit batalkan janji temu kerana pandemik,” kata Chong.

Beliau percaya ramai orang kini sudah mula menerima untuk hidup bersama virus dan mula keluar untuk dapatkan rawatan biasa seperti pendakap gigi, pemutihan dan sebagainya.

Apa yang merisaukannya adalah ada yang menangguhkan rawatan penting yang memerlukan perhatian segera. – 8 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan