Iklan

1,096 pesakit di ICU, 160 kematian baharu Covid-19, kata KP kesihatan

Aminah Farid3 years ago6th Aug 2021Berita
28fdbc06-06ac-46cd-9df8-97090e3b4d56
Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini kini sebanyak 10,179 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2021.
Iklan

KEMASUKAN pesakit Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat dari 1,062 kepada 1,096 dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah ini, 545 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, negara ini melaporkan 160 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 sebanyak 10,179 kes. 

Jumlah kematian hari ini melibatkan 51 kes di Selangor, 32 kes di Johor, 22 kes di Kedah, 17 kes di Kuala Lumpur, 14 kes di Negeri Sembilan, enam kes di Pahang, lima kes di Sabah, empat kes di Melaka dan Terengganu, tiga kes di Perak serta dua kes di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, 24 kematian di luar hospital.

Awal hari ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam Dr Chong Chee Keong berkata, KKM melaporkan 100 kes koronavirus melibatkan kematian di luar hospital dalam tempoh seminggu. 

Beliau berkata kes seperti ini meningkat secara konsisten sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan 80% daripada tidak pernah didiagnosis.

“Dengan kata lain, terdapat golongan yang tidak pernah mendapat akses saringan Covid-19 atau tidak pernah tampil untuk diuji.

Beliau berkata, sebahagian besar kematian di luar hospital melibatkan warga asing.

“20% kes BID yang positif Covid-19 pula lewat atau langsung tidak mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Malaysia mencatatkan 20,889 kes Covid-19 hari ini.

Daripada jumlah ini, Noor Hisham berkata hanya 1.3% atau 273 dari kategori 3 (pneumonia), 4 (pneumonia dan memerlukan alat sokongan oksigen) dan 5 (tahap kritikal).

Sementara itu sebanyak 20,616 kes adalah kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Noor Hisham berkata, sebanyak 4,292 kes hari ini sudah diberi vaksin Covid-19 yang bermaksud mereka dijangkiti virus tersebut selepas diimunisasi.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) negara pula adalah 1.08.

“Negeri yang mencatat Rt tertinggi adalah Kelantan (1.39), Pulau Pinang (1.21) diikuti Perak (1.23).

Noor Hisham berkata kenaikan kes Covid-19 di Malaysia sejajar dengan keadaan global.

Katanya kadar kes purata tujuh hari tertinggi antara 31 Julai dan 6 Ogos bagi setiap 100,000 penduduk dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (105.7) diikuti oleh Selangor (101.5), Wilayah Persekutuan Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8). 

Beliau berkata, angka-angka ini menunjukkan bahawa jangkitan Covid-19 sudah merebak di dalam komuniti. – 6 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan