Iklan

Azmin Ali dikecam di Twitter ekoran pendedahan kluster kilang di Selangor

Ragananthini Vethasalam3 years ago6th Aug 2021Berita
49933222313 fbe74e04ba o
Azmin Ali hari ini menjadi topik paling hangat di Twitter berikutan penafiannya mengenai kilang penyumbang utama kluster di Selangor sedangkan data oleh jabatan kesihatan negeri itu menunjukkan sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2021.
Iklan

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali menjadi topik paling popular di Twitter petang ini ekoran pendedahan pengarah kesihatan Selangor bahawa kilang penyumbang utama kluster Covid-19 di negeri sepanjang Julai.

Pada pukul 6.30 petang, Azmin Ali menjadi bualan popular di Twitter dengan 2,670 twit.

Sebelum itu, pada sidang media hari ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata 96 daripada 180 kluster yang dilaporkan antara 1 Julai dan 31 Julai berkait dengan kilang, diikuti kluster perkhidmatan, tapak binaaan, perniagaan dan komuniti.

Bagaimanapun, katanya, jangkitan tidak berlaku di kawasan kilang tetapi di luar, kemungkinan dari asrama pekerja atau komuniti.

Kementerian Kesihatan (KKM) telah memadam twit mengenai kilang itu di Twitter, namun twit lain yang berkait maklumat dari sidang media itu tidak dipadam.

Namun ada sebilangan warganet yang sempat mengambil tangkap layar twit KKM berkenaan dan menyiar semula dengan menyoal Azmin dan KKM kenapa ia dipadamkan.

Berkongsi tangkap layar twit yang sudah dipadam itu, ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, “Salam takziah buat tweet yang bercakap benar ini.

Pengguna Twitter lain @shaunbadong mempersoalkan adakah KKM atau Azmin yang menipu, dan menjawab “Azmin Ali, duh.”

Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial menggesa Azmin letak jawatan.

Bila ek Azmin Ali nak letak jawatan?” soal pengguna dengan nama pengendali @jeyjeyjahh.

Pada 26 Julai, Azmin menafikan sebahagian besar jangkitan Covid-19 berpunca dari kilang, berkata keputusan untuk membiarkan sektor pembuatan beroperasi dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bercakap di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Gombak itu bangun menunjukkan keratan graf dan laporan berita Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan majoriti kes adalah sporadik dan bukan daripada sektor perkilangan.

“Semua keputusan yang dibuat adalah secara kolektif dalam MKN. Sebelum keputusan yang dibuat oleh MKN semua kementerian akan bentangkan senarai positif dan negatif akhirnya setelah mendengar semua pandangan dari sektor kesihatan atau ekonomi MKN akan tentukan mana positif mana negatif,” kata Azmin. – 6 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan