KKM digesa buat perancangan awal hadapi lonjakan kes Covid-19
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan perlu ada rancangan awal agar sumber daya kesihatan cukup untuk tampung peningkatan kes Covid-19, kata pakar.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini berkata, kes harian mungkin boleh mencecah sehingga 24,000 kes pada pertengahan September. Bagaimanapun jumlah kes harian sudah mencecah 20,000 kes minggu ini.
Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam dari Universiti Malaya, Prof Dr Sanjay Rampal berkata sistem penjagaan kesihatan perlu ditambah dalam beberapa bulan mendatang agar lebih bersiap sedia berdepan lonjakan kes.
“Adakah bagus untuk menjangkakan apa yang akan terjadi dalam waktu 6-8 minggu ke depan.
“Bagaimanapun, lebih penting untuk merancang dan memastikan sistem rawatan kesihatan dapat menampung peningkatan kes Covid-19.
“Perkhidmatan pertama yang perlu ditanggung adalah kesihatan awam yang memainkan peranan penting dalam membendung penularan,” katanya.
Perkhidmatan kesihatan awam yang terbeban menyebabkan peningkatan jangkitan dan jumlah kes yang semakin meningkat yang akhirnya menyebabkan sistem penjagaan kesihatan lumpuh, tambahnya.
Dr Sanjay berkata, trajektori untuk kes baharu akan berbeza mengikut daerah.
Setiap daerah katanya mungkin mempunyai ambang kes aktif yang berbeza sebelum sistem penjagaan kesihatan lumpuh.
“Pusat-pusat wabak mungkin dibangunkan dalam beberapa minggu mendatang di Utara-Timur Laut dan Selatan Semenanjung Malaysia dan di Sabah. Namun, hal itu dapat dikurangkan dengan meningkatkan vaksinasi di daerah-daerah ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sistem penjagaan kesihatan mungkin dapat ditangani sekiranya sumber dari hospital awam,swasta dan tentera dikumpulkan.
Kes simptomatik dan simptomatik ringan boleh menjalani kuarantin di rumah, kata Dr Zainal.
Namun katanya, pengesanan awal kes Kategori 3 dan Kategori 4 yang memerlukan alat sokongan pernafasan dan rawatan perubatan segera juga akan membantu.
“Kerajaan juga perlu terus mengambil langkah pencegahan dan pengawalan di seluruh negeri,” katanya.
Selain itu katanya, lebih banyak petugas barisan hadapan diperlukan di pusat kuarantin berisiko rendah, Pusat Penilaian Covid-19 dan hospital.
“Kami juga memerlukan lebih banyak petugas kesihatan dan NGO bagi membantu pesakit dan keluarga yang menjalani kuarantin di rumah,” katanya.
Dengan lebih 200,000 kes aktif, hospital-hospital terutama di Lembah Klang sudah sesak dengan pesakit yang ramai.
Keadaan yang menakutkan di hospital yang sesak diketengahkan di media sosial dan akhbar berulang kali.
Mereka yang dijangkiti Covid-19 pada Kategori 1 dan Kategori 2 di Lembah Klang kini dibenarkan menjalani kuarantin di rumah sementara kapasiti hospital disediakan untuk mereka yang berada pada tahap jangkitan yang lebih tinggi.
Malaysia semalam mencatatkan 20,889 jangkitan baharu, hari kedua berturut-turut melebihi 20,009 kes.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan aktif di seluruh negara lebih 200,000 di mana lebih 1,000 berada di ICU. – 7 Ogos, 2021.