Kes Covid-19 dijangka turun hujung bulan ini, kata KP kesihatan
Iklan
KES Covid-19 dijangka turun pada hujung bulan Ogos ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Mungkin ada trend penurunan dalam kes apabila 40% penduduk telah divaksinasi sepenuhnya, katanya.
Setakat ini, cuma 24.5% penduduk telah lengkap divaksiasi, manakala 46.4% telah menerima satu suntikan.
Beliau berkata kenaikan kes Covid-19 di Malaysia selari dengan keadaan global.
Kadar kes purata 7 hari tertinggi dari 31 Julai hingga 6 Ogos dilaporkan tertinggi di Kuala Lumpur dengan kadar 105.7 dalam 100,000 penduduk, diikuti Selangor (101.5), Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).
“Angka-angka ini menunjukkan jangkitan Covid-19 telah menular dalam komuniti.”
Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kluster juga meningkat dari 286 pada tempoh dari 23 Jun hingga 6 Julai, menjadi 401 antara 21 Julai dan 1 Ogos.
Dalam tempoh sama, kluster tempat kerja juga meningkat dari 180 menjadi 213, sementara kluster komuniti meningkat dari 86 kepada 142.
“Peningkatan ini berikutan banyak saringan kontak rapat dibuat,” katanya, menambah, ianya disebabkan kesedaran rakyat yang tinggi untuk disaring.
“Peningkatan kes juga dipercayai kerana varian Delta.
“Hingga kini, sebanyak 199 kes varian Delta telah dikesan dalam komuniti.”
Hari ini, Malaysia mencatat rekod harian tertinggi sebanyak 20,889 kes dengan 160 kematian.
Setakat ini terdapat 221,396 kes aktif, dengan rekod 1,096 pesakit dirawat di unit rawatan rapi di mana 545 memerlukan alat bantuan pernafasan. – 6 Ogos, 2021.