RoS sudah peraku tangguh pemilihan, kata Umno
Iklan
UMNO mempersoal tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang memutuskan parti itu menangguhkan pemilihan secara tidak sah walaupun menyatakan persetujuan lebih awal.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan membangkitkan perkara itu dengan mendedahkan surat RoS bulan lalu yang membenarkan pemilihan itu ditangguhkan.
Ia diperakukan RoS dengan menerima permohonan Umno bertarikh 24 Jun untuk menunda pemilihan berkenaan, kata Ahmad pada sidang medianya petang ini.
Jelasnya, surat RoS bertarikh 19 Julai itu “antara lain menyatakan pihak RoS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti Umno”.
Katanya, RoS mendapati penangguhan itu mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan Umno.
Beliau berkata, keputusan untuk menangguhkan pemilihan itu dibuat melalui resolusi pekeliling Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 18 Jun.
Keputusan itu katanya dicapai apabila majoriti 52 daripada 56 ahli MKT bersetuju supaya pemilihan parti ditangguhkan.
Menurutnya, mesyuarat MKT seterusnya pada 7 Julai mengesahkan keputusan itu seterusnya dimaklumkan kepada RoS dalam surat pada 30 Julai.
Beliau berkata, peguam Umno mendapati MKT berkuasa mutlak untuk menangguhkan pemilihan mengikut Fasal 10.16 dalam perlembagaan parti itu.
“Dan oleh sebab itu, Umno hanya perlu memaklumkan kepada pihak RoS,” kata Ahmad yang membantah isu dibangkitkan RoS dalam surat 6 Ogos lalu kepada parti itu.
Katanya, RoS dalam surat itu mendapati penangguhan itu dibuat secara tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun.
Namun ia tidak lagi berbangkit kerana RoS sudahpun memperaku menerima permohonan itu melalui surat pada 19 Julai, katanya.
“Umno berharap agar dengan penjelasan ini, maka, polemik di antara Umno dan RoS dapat diselesaikan,” katanya.
Isu mengenai keabsahan tempoh jawatan anggota MKT itu disebut dalam surat Pendaftar RoS Jasri Kasim kepada Ahmad semalam.
“(RoS) berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun 2021.
“Oleh itu keputusan MKT Umno untuk menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat selama 18 bulan pada 7 Julai 2020 tidak sah,” kata Jasri dalam surat itu.
Keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno menunda pemilihan itu selama 18 bulan diumumkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Julai lalu.
Dalam pengumuman sama, beliau menyatakan Umno menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Surat RoS itu muncul sewaktu pergolakan dalaman Umno semakin memuncak, dengan majoriti kumpulan ahli Parlimen Umno memilih untuk menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Ia menyebabkan bekas Perdana Menteri Najib Razak menuduh RoS dipergunakan oleh kerajaan PN untuk membatalkan keabsahan MKT Umno.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan untuk membalas tindakan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan ke atas Muhyiddin. – 7 Ogos, 2021.