Korban Covid-19 di kalangan pelarian hampir setiap hari, kata kumpulan
Iklan
KES kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat pelarian di Malaysia berlaku hampir setiap hari, kata kumpulan masyarakat sivil.
Beberapa ketua kumpulan berkenaan memberitahu The Malaysian Insight kesukaran melaksanakan penjarakan fizikal menyebabkan pelarian terus menjadi golongan berisiko maut akibat Covid-19.
Ini kerana kebanyakan mereka terpaksa tinggal di rumah yang sempit.
Peningkatan angka korban dalam kalangan pelarian akibat virus ini dilihat bermula sejak gelombang jangkitan terbaru ini berbanding jumlah kematian yang sangat sedikit tahun lalu.
Ketua Alliance of Chin Refugees James Bawi Thang Bik berkata pihaknya menerima laporan kes kematian Covid-19 dalam kalangan komuniti Chin di Malaysia setiap hari dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini.
Beliau kini dalam tempoh kuarantin setelah disahkan positif awal minggu ini kerana menjadi kontak rapat semasa mengagihkan sumbangan kepada pelarian yang dijangkiti.
Pengarah Pendidikan dan Eksekutif Pusat ElShaddai Dr Ng Oi Leng berkata kekerapan kematian akibat Covid-19 di kalangan pelarian dan pendatang asing turut meningkat susulan kluster di tempat kerja.
“Sepanjang tahun lalu dan awal 2021, kami tidak mendengar banyak kematian membabitkan pelarian atau pendatang asing.
“Hanya dalam lonjakan baru-baru ini, kami menerima laporan lebih banyak kematian beberapa minggu ini,” kata Ng.
Pusat pembelajarannya memberi perkhidmatan kepada komuniti pelarian termasuk daripada komuniti Rohingya, Afghanistan dan Pakistan.
Terdapat juga pelarian dari Myanmar, Indonesia, Somalia, Yemen, Cuba, Syria, Kemboja, Filipina dan Bangladesh.
“Apabila ahli keluarga dijangkiti, biasanya seluruh keluarga juga akan terjejas.
“Ramai di antara mereka tinggal bersama dan tidak mampu untuk mengasingkan diri antara ahli keluarga,” kata Ng.
Ng berkata mereka yang tidak bergejala teruk akan tinggal di rumah, namun apa yang lebih membimbangkan adalah kes dimasukkan ke hospital selalunya berakhir dengan kematian. – 8 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.