Iklan

Semua pihak dapat manfaat PRN Sarawak tangguh, kata penganalisis

Desmond Davidson3 years ago8th Aug 2021Berita
49936884352 98bc8029f9 c
Darurat dilanjutkan di Sarawak hingga Februari tahun depan bagi menghalang pilihan raya negeri diadakan ketika pandemik masih tak surut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2021.
Iklan

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) dan blok pembangkang masing-masing boleh mendapat manfaat daripada penangguhan pilihan raya negeri, kata penganalisis.

Walaupun begitu, blok pemerintah terdiri daripada empat parti itu mungkin lebih menikmatinya, tambah mereka.

Penganalisis berpendapat yang pelanjutan darurat bermula 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022 akan membantu politikus negeri itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Bagi pakatan pemerintah GPS, ia akan memberikan lebih masa untuk mereka mengukuhkan dan memperhebat kerja lapangan yang dibuat sebelum dan sepanjang pandemik Covid-19.

Menurut penganalisis, kerajaan negeri boleh merancakkan program vaksinasi penduduk dewasa, pada masa sama merancang aktiviti pemulihan ekonomi sebelum pilihan raya diadakan, kedua-duanya boleh digunakan sebagai tiket meraih undi.

Bagi pembangkang pula, pelanjutan darurat itu adalah peluang duduk berbincang dan menyelesaikan beberapa isu yang memecahkan mereka sejak beberapa bulan lalu.

Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 82 kerusi dengan GPS memegang 60 kerusi dan DAP, 10 kerusi.

PKR pula menang tiga kerusi tetapi kesemua penyandang dipecat parti menyebabkan dua daripadanya memasuki Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan seorang lagi masuk Bersatu.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya dan James Chin dari University of Tasmania berkata pakatan pembangkang yang berpecah belah kini mempunyai lebih banyak masa untuk mencari jalan kerjasama bagi berdepan GPS.

“Jika pembangkang tak bersatu menentang GPS, memang agak jelas yang GPS akan lenyek mereka hidup-hidup (dalam pilihan raya),” kata Chin, pakar pengajian Asia merujuk kepada kegagalan DAP dan PSB mencapai konsensus dalam pembahagian kerusi kawasan majoriti pengundi Cina.

Selepas program vaksinasi digerakkan dengan sempurna, tumpuan GPS kini sepatutnya kepada aktiviti pemulihan ekonomi yang terjejas teruk kerana pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2021.

Awang Azman turut bersetuju, berkata “masa kecederaan” ini sepatutnya digunakan pembangkang untuk mencari jalan untuk bekerjasama dan bersatu.

Bagi GPS, Chin berkata penangguhan pilihan raya negeri memberikan lebih banyak masa untuk menyempurnakan program vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok.

“Jelas sekali jika mereka dapat siapkan proses vaksinasi sepenuhnya, imuniti kelompok serta sedikit pemulihan ekonomi menjelang akhir tahun ini, pilihan raya selepas Februari, mereka boleh ambil kredit (kejayaan pentadbiran),” tambah Chin.

GPS terdiri daripada empat parti Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), pakatan pemerintah itu diterajui PBB.

Awang Azman berkata pencapaian imuniti kelompok dengan 80% orang dewasa di negeri itu melengkapkan dua dos vaksin akan meningkatkan keyakinan penduduk Sarawak untuk keluar mengundi.

Profesor di UM berasal dari Sarawak itu berkata memandangkan GPS adalah pentadbiran semasa, manfaat lain yang boleh digunakan adalah menggerakkan jentera kerajaan dibawah kuasanya untuk pengedaran bantuan makanan dan kebajikan kepada penduduk yang terjejas teruk kerana pandemik.

Tindakan itu, menurutnya, jika dibuat dengan betul dan tepat akan meningkatkan populariti pentadbiran GPS.

“GPS juga boleh duduk berbincang untuk meneliti semula strategi pilihan raya dalam tempoh pelanjutan (darurat) ini.

“Bagaimana setiap kerusi boleh dimenangi dengan lebih baik dan menyelesaikan isu yang masih tak selesai seperti hubungannya dengan Bersatu,” katanya merujuk kepada permintaan Bersatu untuk bertanding di lima kerusi.

Bersatu kini memegang DUN Krian disandang oleh Ali Biju.

Biju menang di Krian atas tiket PKR sejak dua pilihan raya lalu sebelum dipecat tahun lepas kerana tidak menyokong cadangan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Beliau kemudiannya menyertai Bersatu. – 8 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan