Putrajaya umum kelonggaran bagi individu terima vaksin lengkap
Iklan
INDIVIDU menerima vaksin lengkap dapat menikmati kelonggaran kawalan pergerakan bermula 10 Ogos mengikut fasa pemulihan di setiap negeri, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga menjelaskan, individu tersebut hanya dianggap lengkap divaksin selepas melalui tempoh masa tertentu mengikut dos ditetapkan bagi jenis vaksin.
Katanya, individu menerima vaksin Pfizer-BioNTech, Astrazeneca dan Sinovac dianggap lengkap divaksin 14 hari selepas menerima dos kedua.
Penerima vaksin dos tunggal seperti CanSino dan dan Johnson and Johnson pula hanya dianggap lengkap divaksin 28 hari selepas menerima vaksin, katanya dalam ucapan disiarkan langsung.
Beliau berkata, kelonggaran itu termasuk kebenaran menjalani kuarantin wajib di rumah setibanya dari luar negara, atau bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia.
Katanya pengembara tersebut akan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.
Beliau juga mengumumkan kebenaran bagi pasangan suami isteri jarak jauh yang menerima vaksin lengkap itu untuk merentas daerah atau negeri bagi bertemu pasangan.
Ibu bapa yang mendapat vaksin lengkap juga dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak bawah umur 18 tahun, katanya.
Tambahnya, kelonggaran juga diberikan untuk individu lengkap vaksin bagi menunaikan solat di masjid dan surau – melibatkan semua negeri.
Katanya, kelonggaran itu bagaimanapun tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan juga Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat bukan Islam.
“Pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.
“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat MESTI menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.
Tambahnya, kelonggaran sama diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah ibadat.
Individu yang lengkap vaksin di negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pula antara lain dibenarkan rentas daerah, makan di premis restoran dan melancong dalam negeri, katanya.
Selain itu, individu yang lengkap divaksin di negeri terbabit juga dibenarkan menjalankan aktiviti sukan individu, kata Muhyiddin.
Kelonggaran itu diumumkan dengan mengambil kira maklumbalas Kementerian Kesihatan dan selaras dengan dara dan prinsip sains serta kesihatan awam yang diamalkan seluruh dunia, katanya.
Muhyiddin juga memberi amaran, kemudahan tersebut akan ditarik balik sekiranya garis panduan dan prosedur operasi yang ditetapkan tidak dipatuhi.
“Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, KKM terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya,” katanya.
Katanya, ia termasuk melakukan penilaian semula risiko, menutup premis atau kawasan terlibat serta-merta dan mengeluarkan kompaun kepada pihak terbabit.
Pengumuman Muhyiddin hari ini dibuat selepas 8.25 juta atau 35.3% individu dewasa dalam negara lengkap menerima dua dos suntikan vaksin setakat 6 Ogos lalu.
Pada masa ini, Lembah Kelang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Melaka kini dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Negeri Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah kini dalam Fasa 2 manakala Perlis, Sarawak dan Labuan sudahpun dalam Fasa 3 sejak 4 Ogos. – 8 Ogos, 2021.