Pesakit boleh bayar tapi tiada katil, kata persatuan hospital swasta
Iklan
SEKALIPUN ada wang untuk mendapatkan rawatan Covid-19, pesakit sukar untuk dimasukkan ke hospital swasta kerana jumlah katil yang tidak mencukupi, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh.
“Kami menerima ramai pesakit Covid-19 yang bersedia untuk membayar tapi kami tidak dapat menyediakan katil buat mereka. Ia bukan persoalan mengenai wang, ada ramai pesakit yang mampu membayar tapi kini dimasukkan ke hospital kerajaan.
“Mereka mahu dipindahkan dari hospital kerajaan ke hospital swasta untuk rawatan dan mereka sedia membayar tapi katil di hospital kami sudah penuh.
“Isu sekarang bukannya mengenai kos tapi katil. Tiada katil lagi yang boleh kami sediakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Hospital swasta di Lembah Klang hampir penuh dan mencapai tahap kapasiti.
“Kami sering mempunyai jumlah katil yang terhad dikhaskan bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi dan wad biasa,” katanya.
Dr Kuljit berkata ia kerana hospital swasta tidak mempunyai tenaga kerja yang besar berbanding hospital kerajaan dan rawatan Covid-19 memerlukan pemantauan rapi secara konsisten terutama bagi kes lebih teruk.
Selain itu katanya, pesakit Covid-19 perlu diasingkan daripada pesakit lain.
“Daripada sudut infrastruktur, ia satu lagi alasan mengapa hospital swasta hanya boleh mengambil pesakit Covid-19 yang terhad,” katanya.
“Itulah juga sebabnya kenapa semua hospital swasta biasanya penuh kerana jumlah katil terhad yang boleh kami khususkan bagi Covid-19.”
Mengenai purata katil dikhaskan buat pesakit Covid-19, Dr Kuljit berkata ia berbeza antara hospital. – 9 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.