Iklan

Longgar SOP bagus untuk ekonomi, tapi masih berisiko, kata pakar kesihatan

Kl daily 080821 tmiseth 04
Rakyat tidak boleh memandang enteng dengan pelonggaran SOP untuk penerima lengkap vaksin kerana varian Delta sudah berada dalam masyarakat, dan kes jangkitan harian juga masih tinggi, kata pakar kesihatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2021.
Iklan

KEPUTUSAN Putrajaya melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang sudah lengkap divaksin langkah bagus untuk pulihkan ekonomi tetapi ia juga boleh menyebabkan varian Delta menular di negara ini, kata pakar kesihatan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight rakyat perlu terus berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial bagi mengekang varian Delta dari merebak. 

Petang ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan makan di tempat, rentas daerah, pelancongan dalam negeri dan aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin di negeri-negeri Fasa Dua dan seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata, rakyat tidak sepatutnya memandang enteng dengan pelonggaran SOP oleh kerajaan.

Beliau berkata ada kemungkinan kes akan meningkat berikutan pelonggaran tersebut.

“Kini individu dan masyarakat perlu lebih berhati-hati sebab kes masih tinggi dan kadar vaksinasi belum cecah 40%,” katanya.

Selain itu, beliau berkata varian Delta sedang menular dan kemudahan kesihatan juga sesak.

Dr Zainal berpendapat dengan membenarkan pengembara luar negera kuarantin di rumah juga bukan keputusan bagus memandangkan risiko untuk berjangkit masih tinggi.

Oleh itu, beliau berkata mereka yang telah lengkap divaksin perlu patuh SOP.

Individu penerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac dianggap telah diimunisasi sepenuhnya terhadap Covid-19, pada hari ke-14 selepas suntikan kedua.

Penerima vaksin dos tunggal seperti CanSino dan Johnson & Johnson pula hanya dianggap lengkap divaksin 28 hari selepas menerima vaksin

Membenarkan pengembara luar negera kuarantin di rumah juga bukan keputusan bagus memandangkan risiko untuk berjangkit masih tinggi, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2021.

Dr Kuljit Singh, pakar di Pusat Perubatan Prince Court, berkata kelonggaran SOP untuk negeri dalam Fasa Dua dan Tiga PPN bukanlah isu kerana negeri-negeri tersebut mencatatkan kes harian dan kematian yang rendah berbanding Lembah Klang.

“Dalam kawasan Fasa 2, saya rasa ini tak jadi masalah. Beliau (Muhyiddin) tidak benarkan rentas negeri, hanya untuk pasangan atau anak-anak sahaja (boleh rentas negeri). Jika tidak, tidak dibenarkan. Jadi, anda boleh lindungi penularan dari merebak antara negeri,” katanya.

Kuljit berkata kerajaan sudah tidak dapat tunggu untuk semua negeri kembali normal bagi meneruskan aktiviti ekonomi.

“Bagi mulakan ekonomi, dan juga aspek sosial dan mental dalam pandemik, sebaiknya mulakan (ekonomi).

“Kita tidak boleh terus tutup ekonomi lagi dua atau tiga bulan. Kita kena mula buka, setiap bahagian di dunia ini pelru mula untuk pulihkan ekonomi.

“Kita mahu tunggu seluruh negara kembali normal, kalau tidak, anda akan jahanamkan ekonomi.”

Walaupun Dr Kuljit bersetuju dengan keputusan kerajaan melonggarkan SOP untuk individu yang diinokulasi sepenuhnya, beliau berkata rakyat perlu terus patuh SOP yang ketat.

“Kita kena selalu pakai pelitup muka, kerana kita masih tidak dapat faham betapa teruknya kesan varian Delta, walaupun kamu sudah divaksin.

“Adakah akan buruk, akan baik, kita tidak pasti. Berapa ramai dari mereka yang divaksin masuk ICU dan mati (kerana Delta) ini yang perlu kita ketahui.

“Kita masih akan dijangkiti, tak mengapa, tetapi varian Delta yang menjangkiti orang yang sudah divaksin boleh membawa ke ICU dan mati. Itu yang kita risau.”

Tambahnya, walaupun individu yang sudah lengkap divaksinasi masih boleh terkena virus, sistem penjagaan kesihatan masih boleh kawal selagi pesakit kategori 1 dan 2 yang tidak masuk ke dalam kategori 3, 4 atau 5, di mana mereka perlukan rawatan di hospital.

“Kedua-dua perkhidmatan kesihatan awam dan swasta tidak lagi ada kemampuan (untuk menerima lebih ramai pesakit) terutama di Lembah Klang.”

Pada masa ini hanya Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah yang beralih ke Fasa Dua PPN. Perlis, Sarawak dan Labuan telah beralih ke Fasa Tiga. Negeri-negeri lain masih dalam Fasa Satu. – 8 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan