Iklan

Politik negara goyah tidak jejas Bursa Malaysia, kata penganalisis

Ragananthini Vethasalam3 years ago9th Aug 2021Berita
49932018366 bc214d64bf o
Penganalisis berkata sesetengah pelabur melihat peluang dalam situasi ketidaktentuan politik dan membeli saham pada harga murah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2021.
Iklan

DIJANGKAKAN tiada perubahan drastik akan berlaku dalam trend dagangan di Bursa Malaysia walaupun dengan keadaan ketidaktentuan politik semasa, kata penganalisis pasaran saham.

Bagaimanapun mereka berkata sesetengah pelabur mungkin melihat peluang dalam situasi ini untuk membeli saham pada harga lebih murah sementara yang lain memilih untuk menjual pegangan mereka.

Situasi politik Malaysia bergolak semakin buruk minggu lalu susulan Umno diketuai presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ia menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sehari selepas Umno mendakwa ia mempunyai wakil rakyat mencukupi untuk menggulingkan kerajaan, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan meletak jawatan, sebaliknya akan berdepan dengan usul undi percaya yang akan dibawa terhadapnya di Parlimen pada September.

Penganalisis berkata ketidaktentuan politik ini boleh mencetuskan kedua-dua sentiment positif dan negatif dalam kalangan pedagang.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata pasaran saham mungkin dilihat mendatar dengan turun naik yang ketara bagi tempoh tertentu.

“Dengan turun naik di pasaran, pegadang (yang melihat ia sebagai peluang) akan membeli pada harga lebih rendah dan menjualnya pada harga ttinggi,” kata Thong kepada The Malaysian Insight.

“Individy yang terasa terkesan dengan ketidaktentuan politik akan menjual pegangan mereka. Maka akan ada individu yang membelinya pada harga rendah selepas penjual terpaksa menjualnya.”

FBM KLCI menurun 4.8 mata pada akhir minggu lalu pada 1,489.80 mata berbanding 1,494.60 pada minggu sebelumnya.

Thong bagaimanapun berkata beliau mengekalkan sasaran akhir tahun untuk FBM KLCI pada 1,700 mata.

“Bagi tempoh lebih panjang, bila isu politik diselesaikan, pasaran juga akan positif. Juga kerana pemulihan pasca Covid-19, pemulihan ekonomi dan rakyat akan lebih yakin dalam pasaran,” katanya.

CEO Areca Capital Sdn Bhd Danny Wong berkata selain ketidaktentuan politik, peningkatan kes Covid-19 juga memberi kesan kepada sentimen pelabur.

“FBM KLCI adalah pasaran dengan prestasi paling buruk di rantau ini dengan pelabur luar mula keluar, tetapi pada skala kecil,” kata Wong.

“Pasaran itu ada banyak faktor. Walaupun sentimen teruk, saya positif bagi ramalan jangka sederhana dan panjang.”

Beliau berkata ini berdasarkan kepada penialaian yang baik untuk KLCI dengan keadaan turun naik saham berkurangan dan pegangan asing yang rendah.

Wong berkata ketidaktentuan politik akan reda sebaik saja undi percaya dibawa ke Parlimen. – 9 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan