SPRM siasat dakwaan tawaran habuan sokong kerajaan Perikatan
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah bertemu tiga ahli Parlimen DAP yang mendakwa ditawarkan habuan dan jawatan untuk mengalih sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata agensi antirasuah.
SPRM bagaimanapun tidak dapat mengecam identiti individu itu tetapi memberi jaminan siasatan akan diteruskan.
“Setakat ini, SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli Parlimen berkenaan.
“Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya lapan ahli Parlimen pembangkang, masing-masing lima dari PKR dan tiga dari DAP, mendakwa menerima tawaran habuan dan ganjaran daripada individu tidak dikenali melalui WhatsApp.
Mesej itu menawarkan kepada mereka “durian RM30” untuk menggantikan “durian” dari Lenggong dan Parit Sulong, yang dipercayai merujuk dua bekas menteri Umno yang letak jawatan daripada kabinet Muhyiddin Yassin.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah letak jawatan menteri tenaga dan sumber asli pada 3 Ogos disusuli Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad sebagai menteri pengajian tinggi tiga hari kemudian.
Ahli Parlimen PKR yang mendakwa dihubungi individu tidak dikenali itu ialah Saifuddin Nasution (Kulim Bandar Baharu), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Chan Ming Kai (Alor Setar), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), dan Dr Azman bin Ismail (Kuala Kedah).
Tiga ahli Parlimen DAP yang juga menerima tawaran sama ialah M Kulasegaran (Ipoh Timur), Cha Kee Chin (Rasah), dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).
Tawaran itu dibuat kepada pegawai atau bekas pegawai mereka.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa SPRM menyiasat dengan serius dakwaan berkenaan kerana ia bukan baru kali ini berlaku.
Kelmarin, Kulasegaran yang juga naib presiden DAP membuat laporan polis di Ipoh mengenai tawaran yang diterima melalui pegawainya itu. – 9 Ogos, 2021.