Iklan

Perhimpunan Dataran Merdeka: Polis ambil keterangan 4 lagi ahli Parlimen

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago10th Aug 2021Berita
Parliament protest august 01, 2021 afif 02
Setakat ini lebih kurang 40 daripada 107 ahli Parlimen pembangkang yang menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu dipanggil untuk siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2021.
Iklan

POLIS hari ini mengambil keterangan daripada sekurang-kurangnya empat lagi ahli Parlimen berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka selepas jalan raya menuju ke Parlimen ditutup pada 2 Ogos lalu.

Setakat tengah hari tadi, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew dan Senator Yusmadi Yusoff hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan.

Mereka selesai dirakam keterangan secara berasingan kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Yusmadi memberitahu wartawan pada hari kejadian beliau mahu ke Parlimen untuk membuat persiapan persidangan Dewan Negara, yang pada masa itu belum ditangguh.

“Persidangan Dewan Negara dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei dan ketika itu, saya dalam perjalanan dari rumah ke parlimen sebelum kereta disekat polis berdekatan Dataran Merdeka.

“Notis penangguhan Dewan Negara hanya dikeluarkan selepas insiden itu, jadi kehadiran saya ke situ tidak bertujuan untuk berhimpun,” katanya ketika ditemui di luar IPD Dang Wangi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengarahkan mesyuarat khas Parlimen ditangguh selepas ada jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas di bangunan itu.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 88 kes jangkitan dikesan daripada saringan awal sebelum dan semasa persidangan mesyuarat khas itu.

Daripada kes itu, enam kes dipercayai melibatkan varian Delta, yang lebih mudah dan lebih cepat merebak.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga ahli Parlimen Tanjung berkata polis datang ke pejabatnya di Komtar pada 10 pagi untuk merakam keterangan beliau selama 45 minit.

“Saya telah selesai memberikan kenyataan kepada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut pada pagi ini berhubung siasatan terhadap kehadiran ahli-ahli Parlimen di ibu negara pada 2 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer turut memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

Beliau tiba di IPD Timur Laut kira-kira pukul 9.45 pagi dan selesai memberi keterangan dua jam kemudian, kata polis.

Pihak polis merakamkan keterangan mereka bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Setakat ini, lebih kurang 40 daripada 107 ahli Parlimen pembangkang yang disebut polis menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka dipanggil untuk siasatan, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang dikunjungi polis di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Beberapa orang lagi dijadual memberi keterangan mereka sepanjang minggu ini. – 10 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan