570 perlu bantuan penafasan, 201 kematian baru Covid-19
Iklan
JUMLAH pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal tinggi dengan 570 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, walaupun sembilan orang sudah tidak memerlukan ventilator dalam tempoh 24 jam, sejumlah 1,096 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Negara mencatatkan penurunan kematian untuk hari kedua berturut-turut setelah melaporkan 201 kematian dalam tempoh 24 jam.
Jumlah kematian harian tertinggi adalah pada hari Ahad (8 Ogos) ketika 360 mangsa meninggal dunia akibat virus tersebut.
Angka kematian terkumpul kini berjumlah 11,162 orang.
Angka korban terbaru dalam tempoh 24 jam lepas bermakna negara kini merekodkan 2,138 kematian kerana wabak Covid-19 dalam 10 hari pertama bulan Ogos.
Daripada jumlah itu, 34 adalah kematian dibawa ke hospital dan 152 lagi mempunyai sejarah komorbiditi.
Kematian hari ini dilaporkan di Selangor (87), Kuala Lumpur (37), Johor (20), Perak (12), Sabah (12), Pulau Pinang (10), Melaka (8), Negri Sembilan (5), masing-masing tiga kes di Kedah dan Sarawak, serta dua kes lagi direkodkan di Terengganu.
Malaysia melaporkan 19,991 kes baharu Covid-19 hari ini.
Daripada jumlah itu, Dr Noor Hisham berkata hanya 385 kes atau 1.9% berada dalam kategori tiga (radang paru-paru), empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan lima (kritikal).
Sementara itu, baki 19,606 lagi adalah pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan dua (gejala ringan).
Tambahnya, 4,632 kes hari ini sudah menerima vaksin Covid-19 yang bermaksud mereka dijangkiti selepas vaksinasi.
Kadar kebolehjangkitan (Rt) pula adalah 1.06.
“Negeri yang merekodkan nilai Rt tertinggi adalah Perlis (1.33), Kelantan (1.24) dan Terengganu (1.18),” katanya. – 10 Ogos, 2021.