Kerajaan Perikatan gagal, bukan menteri Umno, kata pemimpin parti
Iklan
UMNO tidak menganggap menterinya sendiri gagal apabila menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional kerana yang gagal ialah kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata pemimpin parti.
Penganalisis politik pula memberitahu The Malaysian Insight, Umno sengaja menjarakkan diri daripada pentadbiran Muhyiddin kerana mahu menjadikan naratif kerajaan gagal modal kempen pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata kepimpinan Muhyiddin gagal kerana anggota Jemaah Menteri terhad menguruskan portfolio masing-masing.
“Menteri kanan dan menteri Umno dalam kabinet tiada kuasa penuh. Kuasa pemutus melangkaui menteri adalah kuasa penuh perdana menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau memberi contoh Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
“Banyak keputusan yang dia buat telah menyebabkan kegagalan untuk rakyat keluar daripada Covid-19.
“Keputusan yang dibuat perdana menteri memperlihatkan kerajaan yang gagal,” katanya.
Setakat minggu lalu, Umno ada tujuh menteri dan lapan timbalan menteri, termasuk seorang senator, dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin. Dua menteri – Shamsul Anuar Nasarah (tenaga dan sumber asli) dan Noraini Ahmad (pengajian tinggi) – letak jawatan minggu lepas.
Razlan setuju bahawa setiap menteri bertanggungjawab secara bersama terhadap keputusan kerajaan, namun mempersoalkan kenapa masih ada menteri yang membangkitkan rasa tidak puas hati mereka di luar kabinet.
“Walaupun keputusan Kabinet kolektif tapi ada perkara yang di luar bidang kuasa menteri Umno atau PAS.
“Ada perkara yang mereka tak boleh tahan sampai kena cakap di media,” tambahnya.
Beliau merujuk perselisihan pandangan terbuka antara menteri kanan keselamatan ketika itu Ismail Sabri Yaakob dan menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali berhubung penutupan kilang pada awal Jun.
Jemaah Menteri pada masa itu dikatakan berbeza pandangan antara memperketatkan kawalan pergerakan dan membenarkan sektor ekonomi beroperasi sehingga wujud “Team Kesihatan” dan “Team Ekonomi”, kata sumber kepada The Malaysian Insight.
“Umno mengambil keputusan dengar suara rakyat bahawa kerajaan ini gagal.
“(Rakyat) minta semua menteri keluar dari kerajaan ini dan kita bincang macam mana kita nak bawa negara ini keluar dengan betul dan baik sehingga rakyat boleh hidup dengan baik, pulih seperti biasa,” kata Razlan.
Jelas beliau, Umno belajar daripada pengalaman pilihan raya umum lepas dan kini mendengar suara rakyat.
Jarakkan diri
Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi melihat Umno sedang menjarakkan diri daripada kerajaan kerana tidak mahu terus terpalit dengan naratif kerajaan gagal.
“Umno tidak mahu dan tak nak rakyat melihat parti itu terlibat dalam kerajaan kerana dengan prestasi kerajaan menangani pandemik, ia akan menyebabkan imej Umno terpalit dengan kerajaan dikuasai oleh Muhyiddin,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa Muhyiddin juga presiden Bersatu dan pengerusi PN.
“Jika Umno berterusan bersama PN, seluruh Umno akan terpalit dengan isu pandemik yang semakin meningkat,” tambahnya.
Dalam pada itu, pengarah eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar pula berpendapat Muhyiddin kini gagal “membeli” pimpinan Umno, selepas seorang demi seorang melepaskan jawatan mereka dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yayasan, tabung amanah dan universiti.
“Umno tekad, semua itu tak mampu membeli dan mempertahankan hubungan Umno dengan kerajaan,” katanya.
Razlan adalah antara sekurang-kurangnya 11 pemimpin Umno yang meletakkan jawatan. Minggu lalu, beliau melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Pemimpin Umno letak jawatan menteri dan GLC selepas Majlis Kerja Tertinggi parti memutuskan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaannya.
Umno kelmarin mengesahkan 14 ahli parlimennya sudah mempersembahkan surat akuan menarik sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Umno mempunyai 38 wakil di Dewan Rakyat. Daripada jumlah itu, 23 ahli parlimen Umno dipercayai bersama Muhyiddin dan kerajaan PN, yang dikatakan kini tinggal 100 daripada 220 kerusi. – 11 Ogos, 2021.